Okinawa mengumumkan perintah berkurung susulan lonjakan kes baharu positif Covid-19. Foto Agensi

NAHA – Okinawa mengumumkan darurat susulan lonjakan kes jangkitan novel koronavirus di negeri itu.

Gabenornya, Denny Tamaki berkata, Okinawa akan diletakkan di bawah perintah darurat bermula 1 sehingga 15 Ogos ini.

Kerajaan tempatan akan meminta semua penduduk untuk tidak melakukan sebarang aktiviti tidak penting serta tidak keluar rumah.

Kerajaan juga katanya sedang meneliti keputusan berhubung perjalanan rentas negeri.

Perintah terbaharu itu juga meminta pengusaha restoran dan kedai makan di bandaraya Naha menghadkan waktu perniagaan kepada 5 pagi sehingga 10 malam sahaja.

“Lonjakan mendadak wabak ini telah mula kelihatan dan dengan itu, kejatuhan sistem penjagaan kesihatan perlu dihalang dengan apa jua cara sekali pun.

“Kami mengeluarkan perintah darurat negeri bagi memberitahu anda semua bahawa kita sekarang sedang berada dalam keadaan kritikal,” kata Tamaki dalam satu sidang media semalam.

Menyentuh mengenai maklum balas kerajaan Persekutuan berhubung pandemik itu, Tamaki berkata: “saya rasa ada berlaku konflik dengan kempen Go To Travel (promosi pelancongan domestik) tetapi saya berpendapat, kerajaan Persekutuan perlu mengeluarkan perintah darurat.”

Okinawa menyaksikan peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak akhir Julai lalu.

Sebanyak 71 kes baharu disahkan pada 31 Julai menjadikannya rekod baharu tertinggi dalam tempoh lima hari berturut-turut.- Agensi