Bersatu
Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah bersedia untuk bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Ketua Badan Pimpinan Negerinya, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, Bersatu Sabah akan mengemukakan calon berwibawa, berkredibiliti dan boleh menang bagi memenangi kerusi yang bakal ditandingi pada PRN itu.

“Kita sudah bersiap sedia dan telah mengenal pasti 45 kawasan DUN yang akan ditandingi oleh calon Bersatu.

“Bersatu Sabah akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi memperhalusi persiapan jentera pilihan raya parti di setiap kawasan DUN Sabah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Hajiji juga berkata, Bersatu Sabah bersedia berbincang dengan parti Perikatan Nasional (PN), UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Sabah demi mengumpul kekuatan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, Bersatu Sabah akan menawarkan manifesto dan hala tuju terbaik untuk rakyat di Sabah yang antara lain memberi fokus kepada membangun semula ekonomi negeri setelah krisis dan pandemik COVID-19.

Menurutnya, aspek lain yang akan menjadi keutamaan perjuangan Bersatu Sabah ialah memastikan hak dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah terus dipertahankan.

Katanya, aspek keselamatan, pendidikan, sosioekonomi, kesejahteraan rakyat dan negeri Sabah, selain perpaduan kaum juga merupakan keutamaan perjuangan parti itu.

“Kita akan pastikan rakyat di Sabah yang menetap di negeri ini berasa selamat, tenteram, selesa, muhibbah dan sejahtera.

“Kita yakin, Bersatu akan menjadi alternatif terbaik dan diterima oleh sebilangan besar rakyat untuk menerajui negeri Sabah,” tegasnya.

Hajiji berkata, Bersatu Sabah akan melancarkan manifesto pilihan raya sebelum tarikh penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah mengumumkan sebanyak 73 kerusi DUN akan dipertandingkan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan namun pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast