Dua jaringan dihasilkan Pierre-Emerick Aubameyang membantu Arsenal menjulang trofi Piala FA selepas berjaya menundukkan Chelsea 2-1 pada aksi final yang berlangsung di Wembley, awal pagi tadi.

LONDON – Pierre-Emerick Aubameyang muncul wira apabila dua jaringannya  membantu Arsenal menjulang trofi Piala FA 2019/20 selepas berjaya menundukkan Chelsea 2-1 pada aksi final yang berlangsung di Wembley, awal pagi tadi.

Pertembungan dua kelab London itu bermula dengan agresif apabila Chelsea mendapat peluang terbaik seawal minit keempat selepas rembatan padu Mason Mount dari luar kawasan penalti berjaya ditepis penjaga gol, Emiliano Martinez.

Namun The Blues berjaya membuka tirai jaringan berselang seminit kemudian apabila gerakan pantas yang dimulakan Christian Pulisic turut disudahkan dengan tenang pemain kelahiran Amerika Syarikat itu setelah beliau mendapat umpanan daripada Olivier Giroud.

Jaringan tersebut nyata menyemarakkan lagi semangat juang anak buah Frank Lampard itu untuk menambah jaringan kedua.

Tertekan dengan aksi kemas yang ditampilkan Chelsea, para pemain Arsenal kembali memperkemaskan corak permainan untuk mereka pula menghadirkan beberapa ancaman berbahaya.

Nicolas Pepe berjaya menjaringkan gol menarik pada minit ke-25 tetapi beliau kecewa apabila Ainsley-Maitland Niles yang mendapat bola sebelum Pepe melepaskan rembatan tersebut terlebih dahulu dikesan ofsaid.

Namun Aubameyang menyudahkan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Cesar Azpilicueta terhadapnya dalam kawasan penalti bagi kembali menyamakan kedudukan.

Malang menimpa Chelsea selepas itu apabila terpaksa melupakan khidmat Azpilicueta dan Pulisic yang mengalami kecederaan hamstring pada minit ke-35 dan 49 apabila kedua-mereka digantikan dengan Andreas Christensen dan Pedro.

Aubameyang sekali lagi membuktikan ketenangannya di minit ke-68 apabila beliau bijak memperdayakan Kurt Zouma lalu membuat percubaan lambung yang mudah menewaskan penjaga gol, Wilfredo Caballero untuk memberikan kelebihan 2-1 buat Arsenal.

Chelsea pula terus terdesak pada minit ke-73 setelah Matteo Kovacic dilayangkan kad merah susulan kad kuning kedua yang diterimanya.

Keputusan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan trofi Piala FA ke-14 buat Arsenal sejak pertama kali memenanginya pada musim 1929/30.

Kejayaan itu juga pasti menjadi detik yang cukup baik buat Mikel Arteta yang mula membimbing The Gunners pada 20 Disember lalu sekaligus membawa mereka ke kempen Liga Europa musim hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast