Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di mana satu kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan bukan warganegara iaitu dari Filipina.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 13 kes penularan di dalam negara, semua 13 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia.

Jelas beliau, perincian kes penularan Covid-19 dalam negara dalam kalangan warganegara tempatan di Kedah melibatkan sebanyak 11 kes daripada Kluster PUI Sivagangga dan di Sabah sebanyak dua kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa Laut Labuan.

“Kes pertama merupakan pelajar yang tiba dari Sandakan, Sabah yang akan memulakan pengajian di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

“Kes kedua pula dari Penampang, Sabah yang datang ke WP Labuan untuk bercuti bersama keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tambahnya, terdapat 17 kes yang telah pulih yang menyaksikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,664 kes atau 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette