KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mencadangkan kerajaan meminda Akta Pilihanraya bagi mencegah budaya lompat tukar parti yang semakin menjadi-jadi sekarang ini.
Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, perbuatan lompat parti oleh wakil rakyat memudaratkan beban kewangan negara dan mengancam keselamatan rakyat serta kestabilan politik.
Beliau menjelaskan, dahulu pemimpin bertukar parti tidak seburuk sekarang sehingga boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan.
“Saya pernah bertukar parti atas sebab peribadi, disingkir dan secara individu yang langsung tidak mengugat kerajaan dipilih rakyat.
“Saya digelar katak dan dicemuh, manakala kini bukan lagi lompat katak, tapi lompat beruk cari buah dari pokok ke pokok. Pelik tapi benar.
“Mereka pernah menghina saya lompat parti mutakhir ini bertukar parti atau melompat lebih dua tiga parti tanpa segan silu ibarat kata, dulang paku serpih. Tahta raja katak kini menjadi rebutan begitu hebat sekali,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Dr. Ibrahim mengulas perkembangan mutakhir politik di Semenanjung dan Sabah yang mengundang kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di bumi Bawah Bayu itu akibat tindakan pemimpin lompat parti beramai-ramai.
Menurut beliau, budaya lompat berjemaah amat bahaya kepada sistem amalan demokrasi kerana ianya melibatkan perubahan kerajaan.
Jelasnya, pasti majoriti rakyat tidak senang dengan perkembangan itu kerana bukan setakat bertukar kerajaan, tapi DUN dan Dewan Rakyat juga boleh dibubar untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU).
“Jika kerajaan dipilih melalui pilihan raya belum pun cukup tiga tahun, terpaksa dibubar atas mainan politik lompat, cuba bayangkan kos kewangan yang terlibat bila PRN atau PRU diadakan secara tiba-tiba.
“Sedangkan, jarak PRN dan PRU dahulu belum matang lagi. Ini satu pembaziran wang rakyat yang sia-sia dan boleh menimbulkan ketegangan antara rakyat,” katanya.
Justeru, bagi mengatasi budaya gila lompat parti yang menjadi-jadi, malah secara berjemaah, Putra mengusul dan mencadangkan Akta Pilihanraya dipinda, di mana setiap wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya tidak boleh melompat atau berpindah parti.
“Kalau mana-mana wakil rakyat bertukar parti, dari parti yang asalnya mereka dipilih, mereka secara otomatik lucut hak sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan dan parti itu boleh menamakan wakil baharu tanpa diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).
“Peraturan ini bagi wakil rakyat yang sudah dipilih melalui PRU dan tidak terlibat dengan ahli biasa yang mahu bertukar parti. Inilah sahaja cara supaya tidak akan berlaku beli membeli wakil rakyat setelah dipilih,” katanya.
Beliau menyatakan, landskap politik negara sudah berubah dan tidak ada lagi parti dominan yang akan menang majoriti selesa.
Oleh itu, katanya, perbedaan kecil atau marginal itu akan menjuruskan kepada lobi-melobi atau beli membeli wakil rakyat yang pasti menodai amalan demokrasi, membazir wang negara dan mewujudkan ketidakstabilan politik negara serta boleh mengancam pembangunan ekonomi rakyat.
Dr. Ibrahim menyeru semua pihak terutama NGO menyokong cadangan pindaan Akta Pilihanraya itu bagi menamatkan budaya lompat parti yang boleh meruntuhkan sesebuah kerajaan dipilih rakyat. – MalaysiaGazette