Ashraf Mustaqim
Mohd Ashraf Mustaqim

KUALA LUMPUR – Kenyataan balas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hanya memburukkan persepakatan yang dibina melalui kerjasama Perikatan Nasional (PN).

Exco Armada Nasional, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, walaupun Hajiji menyatakan Bersatu sedia bertanding 45 kerusi DUN tetapi beliau turut menekankan parti itu terbuka untuk berbincang dalam koalisi PN demi kekuatan dan menjamin kemenangan Sabah.

Katanya, tidak timbul soal Bersatu tidak menghormati kesepakatan ataupun mahu tunjuk besar, kerana kenyataan Hajiji berdasarkan maklumat kesediaan Bersatu dari segi kekuatan jentera dan senarai calon layak di setiap bahagian bagi menghadapi PRN Sabah.

“Hakikatnya, kita terbuka dan lebih ketara diplomasi dengan menolak sama sekali konsep ‘abang besar’, kerana apa yang penting konsensus secara bersama dalam PN dengan turut menghormati rakan gabungan seperti Pas termasuk UMNO.

“Ini semua demi memastikan kemenangan bersama selaku sebuah perikatan atas tekad khidmat dan bakti membangunkan masyarakat.

“Apa yang ditekankan ini seiring dengan kenyataan Exco Armada, Muzzammil Ismail, malah juga kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mohd Ashraf mengingatkan, jangan ada pihak yang cuba mengeruhkan keadaan dengan mahu tunjuk lagak menjadi ‘abang besar’, kerana kerjasama yang dibina jelas berdasarkan tolak ansur dan semangat perpaduan sesama komponen seperti dijelaskan soal konsensus.

Kata beliau, biarlah rundingan itu dijalankan oleh pemimpin utama PN di Sabah berpandukan usaha pimpinan peringkat nasional yang selama ini menunjukkan teladan baik dan kesepakatan membantu rakyat, dipelopori Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, ujarnya, sebarang kenyataan harus melalui PN di Sabah bagi mengelak sebarang salah faham seiring dengan kuasa autonomi yang dimiliki UMNO negeri itu dan juga parti komponen PN yang lain.

“Shahril perlu ingat, ini bukan lagi soal UMNO, Pas mahupun Bersatu. Ini bukan Barisan Nasional (BN), tetapi PN. Kerana itu perlu jelas, ini adalah soal rakyat!

“Memenangi Sabah adalah kewajiban atas tekad yang perlu dibulatkan demi membantu rakyat, bukan mengulangi budaya lama sebegitu omongan kosong perubahan yang dilakukan oleh parti Warisan,” katanya.

Mohd Ashraf yang juga calon Naib Ketua Armada Nasional  turut memuji kenyataan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang dilihat lebih matang dan terbuka, bukan terus melenting seperti kenyataan Shahril.

“Shahril seharusnya menegur dulu ahli keluarga UMNO yang terus memandang rendah parti komponen lain sama ada dalam Muafakat Nasional (MN) ataupun PN,” katanya.

Beliau memberi contoh, di Terengganu, Pengerusi UMNO negeri itu, Datuk Seri Ahmad Said terang-terangan mengeluarkan kenyataan ‘tanpa kompromi’ dengan mengatakan UMNO hendak bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN tanpa mengambil kira pandangan dan hasrat parti komponen yang lain dalam PN.

Katanya, kekuatan PM atau MN bukan sahaja terletak pada UMNO, Pas, Bersatu, GPS atau GBS secara sendiri.

Sebaliknya, tegas beliau, terletak pada kesepakatan yang dibina bersama, di samping prestasi baik yang ditonjolkan Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu dalam membantu rakyat dan memacu negara keluar dari krisis global yang sedang dihadapi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast