KLUANG – Pengguna jalan raya di Taman Sri Kluang dan kawasan sekitar kini menarik nafas lega apabila pokok-pokok besar di tepi jalan sudah ditebang untuk mengelak daripada tumbang.
Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Kluang (MPK) Zon Taman Sri Kluang, Mohd Khairul Ishak berkata, pokok-pokok tersebut sekiranya dibiarkan amat berisiko tumbang pada bila-bila masa serta membahayakan nyawa pengguna jalan raya.
Malah sekiranya tumbang akar pokok berkenaan akan merosakkan keadaan serta permukaan jalan sehingga pecah dan merekah.
“Langkah menebang pokok besar yang mampu merosakkan struktur jalan oleh pihak dilantik dianggap sebagai satu tindakan tepat bagi mengelakkan kerugian lebih besar sekiranya dibiarkan lebih lama.
“Usaha ini yang disuarakan sejak 2022 itu akhirnya menjadi kenyataan dan berjaya dilakukan baru-baru ini,” katanya ketika ditemui meninjau kawasan di tepi jalan taman tersebut hari ini.
Beliau berkata, sebelum penebangan tujuh batang pokok di kawasan itu, pihaknya menerima aduan kebimbangan orang ramai kerana apabila tumbang akarnya yang menjalar merosakkan jalan.
“Jalan 18 di Taman Sri Kluang sebelum ini ibarat seperti bergelombang apabila akar pokok mula menjalar dan merosakkan jalan serta longkang, langkah penebangan pokok itu dianggap sebagai tepat.
“Ini kerana jika dibiarkan lebih banyak kerosakan termasuk longkang akan berlaku, ia pasti memerlukan kos yang tinggi jika terpaksa membuat baik pulih semula,” katanya.
Sebagai usaha mengekalkan kehijauan di kawasan ini, pihaknya bercadang untuk menggantikan dengan tanaman bunga atau pokok renek yang tidak melibatkan penjalaran akar sehingga mampu merosakkan kawasan lain.
Ujarnya, banyak lagi pokok-pokok besar di kawasan berkenaan akan dipertimbangkan untuk ditebang bagi tujuan sama agar lebih banyak longkang atau jalan dapat dielakkan daripada rosak akibat daripada akarnya yang menjalar.
“Bagaimana pun, saya amat berharap pihak bertanggungjawab dapat melaksanakan segera setiap aduan dikemukakan kerana ia bukan semata-mata datang daripada ahli majlis yang dilantik namun paling utama dari suara penduduk di sesebuah kawasan,” katanya.- MalaysiaGazette
















