Abdullah Ahmad Badawi

KUALA LUMPUR – Pejabat bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kesal dengan penularan berita palsu bahawa keadaan kesihatan beliau semakin merosot.

Dalam satu kenyataan, pegawai khas kepada Abdullah, Datuk Jefridin Atan berkata, bekas perdana menteri itu dalam keadaan sihat walafiat.

“Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi menafikan berita tular berhubung keadaan kesihatan Tun dan beliau berada dalam keadaan sihat walafiat bersama keluarga.

“Pihak Pejabat juga amat kesal dengan penularan berita palsu ini dan berharap masyarakat dapat memastikan kesahihan dari pihak yang berautoriti,” jelas Jefridin.

Awal hari ini tular khabar angin mengatakan bekas Perdana Menteri sekali yang lebih dikenali sebagai Pak Lah telah meninggal dunia.

Kenyataan itu pantas dinafikan pihak pengurusan Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan hari ini.

“Pengurusan Galeri mendapati terdapat penularan berita palsu melalui WhatsApp mengenai keadaan kesihatan Tun Abdullah yang merosot.

“Beliau dalam keadaan sihat di samping keluarga tersayang. Pengurusan galeri menafikan penularan berita tidak benar tersebut.

“Orang ramai digesa untuk tidak menyebarkan berita yang tiada kesahihan kerana dibimbangi mencetuskan kegusaran orang ramai,” menurut kenyataan itu.

Abdullah yang berusia 81 tahun dilahirkan pada 26 November 1939 memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelima, juga sebagai Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri bermula 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009. – MalaysiaGazette