Ronnie Liu.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berjanji kepada Parti Warisan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan memasuki Sabah.

Namun, kemunculan parti itu di Sabah disebabkan lompat parti menyebabkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tersinggung, dedah Ahli Jawatankuasa Pusat DAP (CEC) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu.

Pada pilihan raya itu, Barisan Nasional (BN) Sabah dan Warisan – yang diketuai oleh bekas menteri BN Mohd Shafie Apdal – masing-masing memenangi 29 kerusi daripada 60 kerusi DUN.

Dua kerusi lagi dimenangi Parti Solidariti Rakyat Sabah (STAR)

Namun, selepas kejatuhan BN, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN keluar daripada komponen itu dan menyertai Warisan sekali gus menyokong Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan sebagai Ketua Menteri Sabah.

”Sebenarnya, Mahathir pernah berjanji kepada Warisan bahawa Bersatu tidak akan masuk Sabah. Nampaknya hati Shafie tersinggung juga. My God!,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam hantaran itu, beliau turut menyelitkan ceramah Mohd Shafie di hadapan rakyat Sabah yang ternyata tersinggung apabila ada pihak yang mempersoalkan apa yang telah dilakukan oleh Warisan di Sabah.

Dalam rakaman video itu, Mohd Shafie berkata, tahun pertamanya sebagai Ketua Menteri Sabah, beliau terpaksa turun naik mahkamah untuk memutuskan jawatan kepimpinan negeri iti.

“Lepas itu tahun kedua masuk tahun kedua masuk pula parti Mahathir, berpayung pula di situ, kacau sana-sini,” kata Mohd Shafie. – MalaysiaGazette