Barisan peserta yang menyertai misi pendakian menawan puncak Gunung Kerinci seliaan OHANA Adventure Sport di Padang, Sumatra Barat, Indonesia. foto IQBAL BASRI, 19 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – OHANA Adventure Sport (OHANA), syarikat program pendakian terpaksa menanggung kerugian mencecah RM200,000 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Pengurus OHANA, Nik Mulya berkata, jumlah itu melibatkan pembatalan lebih 30 pakej pendakian dalam dan luar negara yang terpaksa ditangguhkan serta-merta sehingga ke hari ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, syarikat menawarkan penjadualan semula bagi pakej yang terjejas kepada pelanggan untuk mengurangkan kos kerugian yang disifatkan situasi menang-menang antara dua pihak.

“Sejak PKP diumumkan oleh kerajaan, kami telah membatalkan semua trip dalam tempoh terdekat serta-merta termasuk satu trip yang sedang berlangsung di Terengganu ketika itu.

“Sehingga bulan Jun ini, lebih 30 trip terkesan akibat pandemik Covid-19 ini dan anggaran kerugian mencecah RM200,00.

“Sememangnya kami tidak menjangkakan industri pelancongan terus lumpuh akibat penularan wabak ini di seluruh dunia dan situasi ini amat mengejutkan bagi syarikat kami,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

OHANA Adventure Sport  menjadi pilihan golongan pendaki tegar kerana menawarkan pakej mampu milik. foto IQBAL BASRI, 21 JANUARI 2019

Nik menambah, beliau melahirkan rasa syukur kerana operasi OHANA tidak lumpuh sepenuhnya sebaliknya kakitangan lebih fokus kepada penambahbaikan perkhidmatan sedia ada.

Jelas beliau, ia melibatkan daripada segi pembentangan dan perancangan apabila syarikat akan beroperasi semula yang mana semua kerja dilakukan dari rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan.

“Selain itu kami turut memperkenalkan pakej keahlian serta memperkenalkan produk-produk cenderahati yang terbaharu untuk pelanggan-pelanggan kami.

“Hikmah daripada krisis yang melanda ini, kami dapat memberi tumpuan kepada bahagian-bahagian kerja yang sebelum ini mungkin tidak dapat kami titikberatkan dan belajar perkara baharu setiap hari.

“Paling penting, kesemua kakitangan dapat dikekalkan dan bantuan daripada kerajaan sepanjang PKP banyak membantu kami untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Antara promosi pakej pendakian OHANA ketika ini.

OHANA sebelum ini menjadi pilihan golongan pendaki menawarkan pakej mampu milik ke luar negara di bawah harga RM1,000.

Pakej luar negara OHANA bermula serendah RM620 dan tidak melebihi RM4,199 di mana antara yang laris dijual adalah Annapurna Base Camp di Nepal, Gunung Fuji di Japan, Gunung Kerinci di Indonesia dan Gunung Fansipan di Vietnam.

Pakej dalam negara pula hanya serendah RM110 dan tidak melebihi RM699 bagi mengikut kesesuaian bajet dan tempoh hari yang sesuai dengan kehendak pelanggan.

Objektif OHANA adalah menawarkan program pendakian dengan harga mampu milik tanpa mengorbankan keselesaan untuk semua pendaki yang bercita-cita untuk menakluki puncak di seluruh dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast