Piala Thomas

KUALA LUMPUR – Skuad badminton lelaki negara dijangka tidak menghadapi halangan sukar apabila diundi dalam kumpulan A, bersama musuh tradisi, Indonesia pada kejohanan Piala Thomas yang dijadual berlangsung pada 3 hingga 11 Oktober ini, di Aarhus, Denmark.

Berdasarkan undian yang disiarkan secara langsung di saluran YouTube Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, selain juara 13 kali itu, turut berada dalam kumpulan A, Belanda dan England.

Juara bertahan, China, diundi dalam kumpulan B bersama Taiwan, Australia dan Perancis, diikuti tuan rumah Denmark, dalam kumpulan C diiringi India, Jerman dan Algeria manakala Jepun pula dalam kumpulan D, bakal berdepan Korea Selatan, Thailand dan Kanada.

Untuk rekod, pada edisi dua tahun lepas di Bangkok, skuad negara gagal melepasi sasaran untuk mara ke separuh akhir selepas tewas 1-3 kepada Indonesia pada aksi suku akhir.

Sementara itu, bagi saingan Piala Uber pula, skuad wanita negara berdepan tugas getir apabila diundi dalam kumpulan B, bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia.

Juara bertahan, Jepun pula diundi dalam kumpulan A bersama-sama Taiwan, Mesir dan Sepanyol manakala China, dalam kumpulan D bersama India, Perancis dan Jerman diikuti tuan rumah dalam kumpulan C bersama Thailand, Scotland dan Kanada.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Malaysia pernah memenangi Piala Thomas sebanyak lima kali — 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992, manakala skuad wanita pula masih belum meraih sebarang kejuaraan pada saingan Piala Uber sejak diperkenalkan pada 1957 di England.

Keputusan undian:

Piala Thomas:

Kumpulan A: Indonesia, Belanda, England, MALAYSIA

Kumpulan B: China, Taiwan, Australia, Perancis

Kumpulan C: Denmark, India, Jerman, Algeria

Kumpulan D: Jepun, Korea Selatan, Thailand, Kanada

Piala Uber:

Kumpulan A: Jepun, Taiwan, Mesir, Sepanyol

Kumpulan B: Korea Selatan, Indonesia, Australia, MALAYSIA

Kumpulan C: Thailand, Denmark, Scotland, Kanada

Kumpulan D: China, India, Perancis, Jerman – Bernama