Tedros Adhanom Ghebreyesus.

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terus meminta penduduk dunia mematuhi penjarakan sosial, kerap membasuh tangan dan memakai pelitup muka.

Ini kerana, vaksin yang dapat menentang wabak Covid-19 masih belum wujud dan mungkin tidak akan ditemui.

Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam taklimat media berkata: “Belum ada magik buat masa ini dan mungkin tidak ada langsung”.

“Oleh itu patuhi penjarakan sosial, basuh tangan dan pakai pelitup muka. Lakukan semua itu,” ujarnya.

Pada masa ini seramai 18 juta penduduk dunia dijangkiti Covid-19 dengan kes kematian mencecah 689,000 orang, menurut Johns Hopkins University.

Tambahnya, kerja-kerja imunisasi giat dijalankan oleh WHO pada masa ini.

Menurut Tedros, sejumlah vaksin kini dalam fasa ketiga percubaan dan berharap ada vaksin yang efektif untuk menangani jangkitan koronavirus.

”Namun, pada saat ini belum ada magik dan mungkin tidak akan ada. Buat masa ini, menghentikan penularan wabak menjadi dasar-dasar kesihatan awam dan kawalan penyakit: menguji, mengasingkan dan merawat pesakit dan menjejak dan kuarantin kontak mereka,” katanya.

Tedros juga berkata, ibu-ibu yang disyaki atau disahkan mendapat jangkitan koronavirus harus didorong untuk terus melakukan penyusuan kerana manfaatnya boleh mengurangkan risiko jangkitan.

Mengulas siasatan punca Covid-19, Tedros berkata, tahap pertama penyelidikan WHO mengenai kemungkinan penyebab wabak di China kini sudah selesai.

Pakar penyakit berjangkit percaya bahawa virus pada mulanya berpindah dari haiwan kepada manusia dan perhatian telah tertumpu pada pasar basah di kota Wuhan di China.

Setakat ini, pasukan awal yang menyelidiksumber tersebut telah menyelesaikan misinya dan akan diikuti oleh kumpulan antarabangsa yang diketuai oleh WHO, termasuk pakar China.

Namun, masih belum diketahui bilakah ia akan bermula. – MalaysiaGazette