Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR- Selepas sebulan menyaksikan peningkatan kes Covid-19 kini negara kembali mencatatkan hanya satu kes baharu positif hari ini.

Kali terakhir Malaysia merekodkan satu kes positif Covid-19 adalah pada 1 Julai lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, kes terbaharu itu adalah penularan tempatan melibatkan seorang warganegara Malaysia yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis.

Jelasnya, pesakit dikesan positif Covid-19 selepas menjalani saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI).

Tiada kes import dan kematian direkodkan pada hari ini menjadikan jumlah korban kekal 125 orang.

Ini menjadikan  jumlah  kes  positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,002 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 193 kes.

“Sekali lagi kita melihat penurunan kes harian kepada satu kes sahaja.

“KKM  (Kementerian Kesihatan Malaysia) ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana pencapaian ini sememangnya hasil usaha dan kerjasama setiap peringkat dan lapisan masyarakat serta agensi terbabit dalam memainkan peranan masing-masing.

“KKM berharap masyarakat akan terus mengamalkan normal dan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette