Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang mematuhi syariah dalam menguruskan penempatan mangsa banjir khususnya bagi mereka yang perlu bermalam di Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, bagi mewujudkan garis panduan melibatkan bencana, ia terlalu spesifik untuk diwujudkan namun secara keseluruhan ianya dilakukan berpandukan syariah.

Katanya, SOP tersebut telah pun diedarkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah serta agensi berkaitan untuk dilaksanakan sekiranya berlaku bencana.

“SOP mematuhi syariah yang mana keluarga lelaki dan wanita yang bukan muhrim akan diasingkan ikut kesesuaian ruang PPS berkaitan. Bagi penyediaan makanan disediakan oleh peneyedia servis yang menepati standard halal yang telah ditetapkan.

“Ruang ibadah yang disediakan turut mesti mematuhi SOP yang telah digariskan. YB (Yang Berhormat) Pasir Mas, apa sahaja cadangan penambah baik PPS secara keseluruhan mematuhi syariah supaya boleh diperbaiki SOP yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (Pasir Mas-Pas), Ahmad Fadhli Shaari yang ingin tahu mengenai garis panduan patuh syariah dalam pengurusan dan penempatan mangsa banjir di PPS.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan tambahan Ahmad Fadhli berhubung persiapan awal pihak kerajaan dalam menghadapi banjir di Kelantan, Redzuan memberitahu pihaknya di bawah pengurusan NADMA telah pun melakukan persediaan awal.

“Kita sekarang buat persediaan bagi memastikan jika ada kelemahan atau ada hiruk pikuk yang dahulu pastikan itu tidak berlaku. Contoh di Kelantan, kita akan mewujudkan satu pusat bagi APM (Angkatan Pertahanan Awam). Di situlah tempat kita letak barangan sebagai persediaan menghadapi banjir.

“Contoh, hari ini dah beli 20,000 unit khemah yang mematuhi syariah di mana kalau dulu khemah setakat pinggang, kita hari ini akan guna khemah yang tertutup dan ini tidak terdedah serta mengikut syariah,” ujarnyanya. – MalaysiaGazette