Foto Facebook KFA Kedah.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Radhi Mat Din dilantik sebagai Pengerusi Pengurusan Pasukan dalam persediaan skuad Lang Merah menghadapi sambungan perlawanan Liga Super bermula 27 Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan media rasmi oleh Menteri Besar Kedah merangkap Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Norhari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Eksekutif KFA semalam.

“Bagi memantapkan pengurusan pasukan, mesyuarat menyusun semua struktur Jawatankuasa Tetap dalam pentadbiran Jawatankuasa Eksekutif KFA dan memutuskan Muhammad Radhi Mat Din dilantik sebagai Pengerusi Pengurusan Pasukan.

“Sasaran persatuan adalah untuk menamatkan saingan pada kedudukan terbaik Liga Super musim 2020 dengan 11 perlawanan maksimum atau 8 perlawanan minimum (tertakluk kepada layak ke peringkat seterusnya dalam Piala Malaysia),” kata Sanusi.

Menurut Sanusi, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak kini dalam persiapan rapi termasuk mengadakan empat perlawanan persahabatan menjelang aksi liga pada 26 Ogos ini.

“Perlawanan (persahabatan) ini akan berlangsung di Selangor, Perak dan Alor Setar pada 8 hingga 15 Ogos sebagai persiapan pasukan,” katanya.

Berkenaan status perlesenan kelab seperti yang diwajibkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pula Sanusi berkata, bagi musim 2020 ini, prosesnya sudah hampir lengkap.

“Proses permohonan perlesenan kelab KFA berjalan dengan teratur dan sudah memenuhi ke tahap 81 peratus daripada semua kriteria.

“Cuma baki 19 peratus proses perlesenan kelab berkenaan akan dilengkapkan menjelang tarikh akhir pada 31 Ogos depan.

“Bagi status Persatuan Bolasepak (FA) ke Kelab Bolasepak (FC) pula, satu Jawatankuasa Khas sudah dibentuk untuk memastikan proses peralihan ini akan mengikuti kaedah yang teratur dan menurut garis masa yang ditetapkan oleh FAM,” katanya. – MalaysiaGazette