Pemain Selangor, Syahmi Safari diasak keras pemain Perak, Rafiuddin Roddin pada perlawanan CIMB Liga Super Malaysia 2020 antara pasukan Selangor menentang pasukan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 07 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Saingan Liga Malaysia 2020 wajar diteruskan demi memastikan ‘periuk nasi’ pemain tidak terjejas di samping membantu perancangan skuad kebangsaan yang bersaing pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Perkara itu disuarakan Setiausaha Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa yang menjadikan kebajikan pemain sebagai aspek utama terhadap kewajaran Liga Malaysia tidak perlu dibatalkan.

Biarpun tidak menafikan realiti kewangan sedikit meruncing yang dialami kebanyakan pengurusan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berpandangan perkara itu menuntut kebijaksanaan persatuan dalam menangani masalah berkenaan.

“Liga mesti diteruskan kerana kita mesti kasihan kepada pemain, jika tidak bagaimana mereka mahu menyara hidup tanpa gaji?

“Walaupun apa jua masalah dihadapi oleh pasukan, setiap pengurusan perlu cuba sedaya upaya fikirkan langkah alternatif menampung masalah kewangan jika penaja menarik diri.

“Tambahan ketiadaan Piala Presiden dan Piala Belia musim ini yang dibatalkan, sedikit sebanyak boleh menampung perbelanjaan untuk pasukan utama.

“Dalam masa sama, jika Liga Malaysia diteruskan, kita akan membantu pemain dalam pasukan kebangsaan bagi kecergasan untuk beraksi 90 minit permainan sebelum ke pentas antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan Malaysian Football League.

Penjaga gol Selangor II, Sikh Izwan Nazrel diasak keras pemain Perak II, Bruno Luiz pada perlawanan Liga Perdana Malaysia 2020 diantara pasukan Selangor II menentang Perak II di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. foto AFFAN FAUZI, 14 MAC 2020

Turut sependapat dengan Nokman ialah pemain berpengalaman, Shukor Adan yang berasakan sebarang cadangan untuk membatalkan saingan Liga Malaysia sebagai sesuatu yang tidak masuk akal ketika Liga Malaysia hanya tinggal tiga minggu sahaja lagi bakal bersambung.

Jelasnya, selaku pemain yang telah melalui asam garam Liga Malaysia, beliau melihat mana-mana pengurusan yang mengharapkan liga ini dibatalkan sebagai seorang yang cuba lari daripada masalah.

“Saya sendiri tidak nampak kenapa saingan liga ini perlu dibatalkan dan jika isu kewangan ditimbulkan, adakah masalah itu tidak pernah ada sebelum adanya penularan wabak Covid-19 ini?

“Jangan jadikan impak wabak ini sebagai alasan mudah untuk melarikan diri daripada membayar gaji pemain dan hormati kontrak mereka.

“Lagi satu, cadangan ini tidak adil kepada pasukan lain yang telah bekerja keras sejak latihan fasa satu dibenarkan dan tiba-tiba mahu liga kita dibatalkan hanya kerana masalah pasukan tertentu sahaja,” katanya.

Saingan CIMB Liga Super akan kembali bersambung pada 26 Ogos ini manakala Piala Malaysia bakal bermula pada 17 dan 18 Oktober depan.

Semua pasukan telah dibenarkan oleh Malaysian Football League(MFL) untuk mengadakan perlawanan persahabatan bermula 2 Ogos lalu melibatkan antara pasukan CIMB Liga Super dan Liga Premier sahaja – MalaysiaGazete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast