KUALA LUMPUR – Walaupun hampir setiap hari media melaporkan berlaku tangkapan ke atas mereka yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun masih ada yang berdegil.

Masih ada yang tidak mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan.

Semalam, menerusi Task Force Operasi Pematuhan, polis telah menahan seramai 104 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP di sekitar ibu kota dan di beberapa negeri.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dari jumlah itu, seramai 99 individu dikenakan kompaun dan lima lagi direman.

“Antara kesalahan mereka ialah tidak mengikuti SOP, melakukan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal, premis beroperasi lebih masa dan melanggar perintah kuarantin.

Selain itu, kata beliau, pemantauan juga dibuat melibatkan 4,009 pasar raya, 5,670 restoran, 1,696 penjaja, 1,196 kilang, 3,943 bank dan 921 pejabat kerajaan.

Task Force Operasi Pematuhan juga, katanya, membuat pemantauan di 1,199 terminal pengangkutan darat, 212 terminal pengangkutan air serta 90 terminal pengangkutan udara.

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri menyatakan, seramai lima Pendatang Asing Tanpa Izin telah ditahan menerusi Operasi Benteng atas kesalahan Imigresen.

Kata beliau, operasi itu yang bermula sejak PKP melibatkan anggota polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Ismail Sabri Yaakob

“Mereka ini mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu dari dibolosi Pati bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan wabak Covid-19.

“Dari 1 Mei sehingga semalam, seramai 2,648 Pati, 609 tekong serta 157 penyeludup telah ditahan.

“Turut ditahan ialah 105 bot dan 278 kenderaan yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara terutama melalui lorong tikus,” katanya.

Beliau meminta orang ramai membantu pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti kemasukan atau pencerobohan Pati ke hotline National Task Force di talian 011-6251 1223. – MalaysiaGazette