KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan Pakatan Harapan (PH) Sabah menggunakan satu logo, iaitu lambang parti Warisan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu.
Cadangan itu dikemukakan Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah, Khairuddin Daud sebagai menunjukkan kesatuan dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti Warisan Sabah.
Beliau berkata, semua parti gabungan PH iaitu Amanah, DAP, PKR dan UPKO perlu mendokong kepimpinan Ketua Menteri interim, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menggunakan logo itu di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
“Penggunaan logo parti Warisan ini adalah sebagai kesatuan dan sokongan tidak berbelah bagi PH kepada parti Warisan Sabah dalam PRN negeri itu.
“Meskipun diugut, ditekan dan cuba dibeli oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti Warisan tetap mempertahankan mandat rakyat Sabah sehingga DUN dibubarkan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau menyatakan, rata-rata rakyat Sabah khususnya anak muda menolak pemimpin yang disifatkan ‘katak’ dalam PRN Sabah berikutan kekecewaan mereka terhadap pemimpin yang mementingkan periuk nasi sendiri.
Justeru itu, kata Khairuddin, sebagai tanda solidariti parti gabungan PH, perlu mempertahankan mandat rakyat yang diberikan pada PRU-14 untuk menolak pemimpin politik tidak berprinsip dalam PRN nanti. – MalaysiaGazette
Hendak ke PKR guna logo Warisan? kalau semua DAP dan PAN sudah setuju guna logo Warisan, jadi memang benarlah DAP dan PAN sokong Shafie jadi Perdana Menteri bukan Anwar. Kalau PKR pun setuju eloklah dipercepatkan PM PH Plus ni.