Suspek utama (berbaju kelabu) ditahan bersama beberapa warga asing atas dakwaan merogol dan melacurkan anak sendiri ketika direman di Mahkamah Kajang pada 14 Julai lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang bapa yang ditangkap atas kesalahan merogol dan melacurkan anak perempuan serta isterinya sejak tiga tahun lalu secara paksaan akan dituduh di Mahkamah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom) di Klang esok.

Sumber polis memberitahu MalaysiaGazette, suspek utama berusia 43 tahun itu yang bekerja sebagai pemandu lori akan menghadapi tiga pertuduhan berasingan atas kesalahan merogol dan juga melacurkan anak serta isterinya.

“Kita akan menuduh suspek utama kes ini iaitu bapa kandung mangsa dalam tiga kes berbeza iaitu tuduhan rogol di bawah Seksyen 376 (B)(3) Kanun Keseksaan.

“Dua lagi pertuduhan terhadapnya akan dikenakan di bawah Seksyen 13 (b) Atipsom kerana melacurkan isteri dan Seksyen 14 Atipsom (melacurkan anak),” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Menurutnya, empat lagi suspek warga asing yang ditahan bersubahat dan menjadi pelanggan kepada mangsa kanak-kanak perempuan suspek berusia 13 itu pula akan dituduh di Mahkamah Majistret Kajang di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol.

Kata sumber itu lagi, keempat-empat suspek terdiri daripada seorang warga Bangladesh dan tiga warga Pakistan berusia 29 hingga 35 tahun.

Kegiatan kejam lelaki itu terbongkar selepas emak saudara mangsa mendakwa mangsa telah dirogol dan dilacurkan oleh bapa kandung sendiri di sebuah Kondominium, di Hulu Langat sejak tahun 2017.

Pada 13 Julai lalu, polis berjaya menangkap suspek di Pandan Indah, dan tujuh lagi suspek warga asing untuk membantu siasatan kes tersebut sebelum  direman tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak.

Pada 23 Julai lalu, mereka dibenarkan reman di Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi untuk siasatan baharu dibawah Atipsom sehingga 31 Julai sebelum dilanjutkan reman sehingga 7 Ogos ini.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.