Pekerja Enrich Fitness, Balqiz Mohd Zaidi membersihkan alat senaman dengan cecair penyahkuman sebagai persediaan untuk kembali beroperasi dan menerima pengunjung bermula 15 Jun ini iaitu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 13 JUN 2020

MEMBASMI kuman atau disinfeksi bermaksud satu proses untuk menghapuskan hampir semua jenis kuman berbahaya di atas permukaan. Pembasmian boleh dilakukan di persekitaran
contohnya di permukaan meja dan kawasan-kawasan yang sering disentuh. Amalan pembasmian kuman amat popular ketika ini disebabkan oleh pandemik Covid-19. Sekolah-sekolah, pejabat-pejabat dan tempat-tempat awam melakukan pembasmian kuman sebelum mula beroperasi. Adakah ini satu keperluan dalam amalan ‘Norma Baharu’? Kenapa pembasmian kuman perlu dilakukan? Adakah mereka melakukan pembasmian dengan betul?

Kenali Jenis Pembasmi Kuman

Terdapat pelbagai jenis pembasmi kuman atau disinfektan. Secara ringkasnya, pembasmi kuman terbahagi kepada tiga peringkat iaitu tinggi, sederhana dan rendah. Pembasmi
‘peringkat tinggi’ seperti hidrogen peroksida dan aldehyde berupaya membunuh lebih banyak kuman berbanding pembasmi peringkat rendah seperti quartenary ammonium compound (QAC). Natrium hipoklorit atau Sodium hypochlorite adalah pembasmi peringkat sederhana yang kerap digunakan kerana harganya murah dan mudah didapati di pasaran dalam bentuk cecair peluntur. Natrium hipoklorit yang dibeli perlu dibancuh untuk menghasilkan kepekatan dikehendaki berdasarkan arahan pada botol. Untuk menjamin keberkesanan pembasmian
kuman, bancuhan perlu dilakukan setiap hari. Selain daripada mempunyai bau kuat, cecair jenis ini juga boleh menyebabkan masalah pernafasan terutamanya dalam kalangan mereka
yang mempunyai penyakit lelah. Peluntur juga bersifat mengkakis serta boleh menyebabkan besi berkarat.

Alkohol juga boleh digunakan untuk membasmi kuman. Alkohol dengan kepekatan 60 hingga 90% berupaya membunuh pelbagai jenis kuman berbahaya. Ia perlu dicampur dengan air untuk mendapatkan peratusan yang diingini. Semakin tinggi kandungan alkohol dalam setiap larutan, semakin mudah alkohol meruap (masa tindak balas berkurang). Jadi larutan yang paling optimum ialah sekitar 70%. Alkohol bersifat mudah terbakar, boleh
mengeraskan barangan getah dan merosakkan gam. Hidrogen peroksida pula jarang digunakan sebagai bahan pembasmi kuman kerana ianya sukar didapati dan agak mahal. Kelebihan hidrogen peroksida ialah dengan kepekatan yang rendah iaitu sekitar 1.5%, ia adalah lebih berkesan membunuh kuman berbanding pembasmi peringkat sederhana dan rendah yang lain. Ia sangat mudah diuraikan, tetapi amat berbahaya pada kepekatan yang tinggi. Contohya, hidrogen peroksida dengan kepekatan 30% boleh menyebabkan letupan sekiranya dicampurkan dengan logam. Kebiasaannya, ia dijual dalam kepekatan 3 hingga 10% dan perlu dilarutkan.

Apabila mengendalikan semua jenis bahan kimia di atas terutamanya ketika melakukan pembancuhan bahan kimia mengikut sukatan oleh pengeluar bahan, lakukan di tempat yang mempunyai pengudaraan serta pencahayaan yang baik. Baca dahulu label dan ikut arahan penggunaan dengan cermat. Pakai peralatan perlindungan diri yang lengkap dan sesuai
termasuk menggunakan pelitup muka, alat pelindung mata, apron, sarung tangan panjang dan kasut but getah. Penyimpanan bahan-bahan pembasmi kuman adalah seperti penyimpanan bahan kimia yang lain. Simpan di tempat yang tertutup dan berkunci serta elakkan penyimpanan di tempat yang mudah dicapai oleh kanak-kanak. Sekiranya terminum atau masuk ke ruang rongga hidung, dapatkan rawatan kecemasan dengan segera.

Kenapa pembasmian kuman perlu dilakukan?

Pembasmian kuman perlu dilakukan kerana kuman perlu dinyahkan daripada permukaan dengan cara membunuh kuman-kuman tersebut menggunakan cecair pembasmi kuman. Kuman yang berada di permukaan mampu disebarkan daripada seorang individu kepada individu yang lain dengan cara sentuhan. Individu yang tersentuh permukaan yang berkuman berisiko mendapat jangkitan dan boleh pula menyebarkan jangkitan tersebut kepada individu lain. Sekiranya pembasmian dilakukan, risiko untuk mendapat jangkitan melalui permukaan dapat diatasi.

Di mana Perlu Basmi Kuman?

Kawasan-kawasan yang selalu disentuh seperti tombol pintu, pemegang troli, mesin ATM dan pam minyak perlu sentiasa dibasmi kuman. Di pejabat-pejabat, kawasan yang penting
ialah butang lif, suis lampu, gagang telefon, papan kekunci telefon dan tempat merakam waktu. Manakala di sekolah, meja juga perlu dibasmi kuman. Jika anda atau ahli keluarga
anda dijangkiti COVID-19 atau mengalami penyakit lain yang mudah berjangkit, anda juga perlu melakukan pembasmian kuman di rumah. Permainan-permainan di taman-taman awam,
bangku taman serta struktur binaan gunasama seperti pondok menunggu bas tidak memerlukan pembasmian kuman tetapi amat digalakkan untuk dibersihkan secara berkala. Pembasmian kuman di tempat-tempat seperti di atas jalan, laluan pejalan kaki dan di tempat-tempat awam yang lain secara besar-besaran adalah tidak efektif disebabkan oleh kebarangkalian kuman merebak daripada cara ini adalah amat rendah.

Bila Perlu Basmi Kuman?

Secara teori, pembasmian perlu dilakukan sekerap mungkin terutamanya di pasar-pasar dan pasaraya kerana bilangan pengunjung yang ramai. Di pejabat dan sekolah, pembasmian boleh dilakukan pada waktu rehat dan sebelum tamat waktu persekolahan.

Bagaimana pembasmian kuman dijalankan?

Di tempat-tempat yang boleh dicapai dan permukaan yang kerap disentuh, kaedah yang paling mudah untuk membasmi kuman ialah dengan menggunakan kain yang telah dicelupkan atau dibasahkan dengan cecair pembasmi kuman. Kain tersebut kemudiannya digunakan untuk mengelap kawasan tersebut. Biarkan seketika dan permukaan tersebut akan kering dengan sendirinya. Jangan bilas permukaan tersebut dengan air setelah menjalankan kerja-kerja mengelap. Kain yang sama boleh digunakan berulang kali setelah dibasuh dengan air panas dan kemudiannya dikeringkan. Ini bukan sahaja menjimatkan kos kerana kain lap boleh digunakan berulang kali, tetapi juga penggunaan cecair pembasmi adalah dalam kadar yang sedikit sahaja serta bancuhan dilakukan mengikut keperluan. Sekiranya kawasan pembasmian luas serta mempunyai celah-celah yang sukar dijangkau atau dicapai, penggunaan kaedah penyemburan boleh dibuat. Yang paling mudah dan melibatkan kos yang
rendah ialah menggunakan alat semburan yang boleh disandang di bahu atau digalas di belakang badan, iaitu alat yang sama kegunaanya untuk meracun rumpai di kebun-kebun. Walau bagaimanapun, pengguna alat ini haruslah mempunyai kemahiran mengendalikan alatan supaya semburan adalah sekata serta tidak membahayakan penyembur dan orang ramai. Pengguna alat ini juga harus menggunakan peralatan pelindung diri yang sesuai ketika mengendalikan alat ini seperti memakai pelitup muka, sarung tangan panjang, kasut but getah dan alat pelindung mata. Kaedah yang paling mudah sekali untuk membasmi kuman di
permukaan ialah dengan menggunakan tisu basah beralkohol atau mengandungi bahan kimia yang bersifat membunuh kuman. Namun, kaedah ini melibatkan kos yang besar kerana ia
adalah sekali guna dan tidak sesuai untuk permukaan yang besar.

Oleh: Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed (Pakar Mikrobiologi Klinikal) & Prof Madya Dr
Mohd Dzulkhairi Mohd Rani ( Pakar Kesihatan Awam)
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia