Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak mengetahui tentang dana awam sebanyak RM20 juta yang dilaburkan kepada syarikat Aerodyne Ventures Sdn Bhd (Aerodyne).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu memaklumkan beliau tidak boleh memperincikan dana tersebut kerana ia sudah disumbangkan kepada pihak tertentu untuk projek kereta terbang.

“Saya tidak boleh beritahu apa terjadi kepada dana itu oleh kerana sudah disumbangkan.

“Saya cukup yakin kementerian yang menyumbang sumber kewangan ini mengguna pakai dan memantau pembangunannya dan saya tak boleh menjawab apa yang saya tidak tahu,”,” katanya menjawab pertanyaan lisan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas).

Pertanyaan itu dikemukakan susulan soalan Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli yang mahu tahu mengenai perkembangan terkini pembangunan industri kereta terbang, sama ada ia masih diteruskan di bawah kementerian itu.

Dalam penjelasan beliau, Wan Junaidi memaklumkan buat masa ini pembangunan industri kereta terbang ini diterajui dan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta .

“Projek melibatkan kereta terbang tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan namun MEDAC berperanan sebagai pemudah cara kepada pembangunan usahawan PKS tempatan dalam industri ini yang fokus kepada perkhidmatan dron atau superdrone,” katanya lagi.

November tahun lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menggesa pihak berkuasa mengaudit pelaburan dana awam sebanyak RM20 juta yang dilaburkan kepada Aerodyne.

Menerusi laporan PAC berkaitan projek kereta terbang, jawatankuasa itu memaklumkan syarikat tersebut merupakan sebuah firma swasta yang dikaitkan dengan projek berkenaan.

Menurut jawatankuasa itu, dana itu disalurkan kepada Aerodyne melalui syarikat dikenali sebagai VentureTech Sdn Bhd (VentureTech), sebuah anak syarikat Malaysian Industry-Government Group for High Technology (Might) yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Menurut laporan itu lagi, Ahli Lembaga Pengarah VentureTech meluluskan pelaburan RM20 juta bagi membangunkan pusat pemprosesan data di Cyberjaya, pusat penyelidikan dan pembangunan serta ‘perbelanjaan lain ‘termasuk membeli beberapa dron.

Dalam pada itu, MEDAC buat masa ini sedang memberi tumpuan terhadap pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mikro dan koperasi terutamanya yang terkesan akibat Covid-19.

Hal ini amat penting kerana kesan penularan wabak Covid-19 terhadap usahawan tempatan perlu ditangani dengan lebih agresif dengan sumber kewangan dan kepakaran yang ada pada kerajaan, katanya lagi. – MalaysiaGazette