Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua bercakap pada sidang media semasa menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Melihat kepada perkembangan positif isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), DAP hari ini mengusulkan agar kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas pemulangan aset untuk syarikat itu serta juga SRC International.

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mahu jawatankuasa itu ditubuhkan segera untuk memantau dan menilai tindakan terhadap pemulangan aset berkaitan.

“Harap satu Jawatankuasa Khas Parlimen memantau pihak kerajaan dan diharapkan pihak tuan Speaker memberi usul ni dibahaskan sama ada jawatankuasa khas ini dapat ditubuhkan ataupun tidak,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Menurut Tony Pua, usul tersebut merupakan pindaan ke atas usul menjunjung kasih Titah Ucapan Diraja atas nama Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang akan dibentangkan, minggu depan.

Bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng itu berkata, pindaan usul tersebut menambah perkataan “dan memutuskan supaya sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas ditubuhkan segera untuk memantau, menilai dan mengesyorkan cadangan kepada kerajaan terhadap tindakan-tindakan yang telah dan akan diambil oleh pihak kerajaan untuk memulangkan wang dan aset- aset yang berkait dengan 1MDB dan SRC International, termasuk penyelesaian dengan Goldman Sachs, International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dan Riza Aziz.”

“Dalam minggu-minggu yang terkini sudah kita lihat pihak kerajaan PN telahpun mengambil tindakan mencapai penyelesaian dengan pelbagai pihak dan dalam isu-isu penyelesaian tentsng 1MDB dan SRC, penyelesaian ni telah bangkitkan banyak soalan dan kerisauan baahwa hak negara Malaysia telahpun terjejas akibat penyelesaian tersebut,” katanya.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Absu Aziz sebelum ini berkata, wang tunai AS$2.5 bilion akan diterima dalam masa dua bulan manakala AS$1.4 bilion akan dibayar selepas aset tersebut dipulangkan kepada kerajaan.

Untuk rekod, Malaysia telah menerima sejumlah AS$620 juta (RM2.7 bilion) dari Amerika Syarikat sejak usaha mendapatkan semula aset-aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dimulakan pada Jun 2018. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.