ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – Seorang suspek yang ditahan polis Petaling Jaya semalam kerana disyaki mencabul seorang pelajar perempuan dalam kejadian pada 30 Julai lalu telah direman selama tiga hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek yang bekerja sebagai Polis Bantuan di sebuah stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Petaling Jaya itu berusia 36 tahun.

“Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi tadi untuk permohonan reman. Majistret membenarkan suspek direman selama tiga hari sehingga 7 Ogos ini untuk siasatan lanjut kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nik Ezanee, suspek telah berkhidmat sebagai anggota Polis Bantuan hampir lapan tahun di stesen LRT tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Semalam dalam kenyataan awal, Nik Ezanee berkata, polis menahan suspek bertindak atas laporan polis mangsa perempuan berusia 19 tahun pada 30 Julai lalu selepas mendakwa mangsa memegang buah dadanya secara tiba-tiba semasa menemaninya menunggu tren keseorangan di sebuah stesen LRT pada waktu lewat malam.

Mangsa mengadu kejadiannya kepada ahli keluarga setelah pulang ke rumah sebelum membuat laporan polis sekitar jam 3.30 pagi pada hari kejadian.

“Semasa ditahan polis suspek mengaku telah bertemu dengan mangsa di masa dan tempat kejadian dilaporkan tetapi menafikan bahawa dia telah mencabul seperti didakwa mangsa gadis itu,” tegas Nik Ezanee.- MalaysiaGazette