Suspek utama yang merupakan seorang pemandu lori hadir ke Mahkamah Seksyen Klang (ATIPSOM) untuk dihadapkan tiga pertuduhan atas kesalahan melacurkan anak kandung dan isteri secara paksaan ketika di Kompleks Mahkamah Klang. foto MOHD ADZLAN, 6 OGOS 2020.

KLANG – Mahkamah Sesyen Antipemerdagangan Orang (ATIP), Mahkamah Klang di sini, menetapkan 19 Ogos ini untuk menjatuhkan hukuman ke atas seorang pemandu lori yang melacur anak perempuan dan isteri.

Hakim Datuk Zamzaini Mohd Zain ketika menetapkan tarikh jatuh hukum itu, tidak mengenakan sebarang ikat jamin, selepas lelaki itu yang merupakan bapa kandung kepada remaja terbabit mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj.

Lelaki berusia 43 tahun itu yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 13(b) & 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen (ATIPSOM) Klang, hari ini.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, dengan setiap Seksyen Atipsom boleh dipenjara maksimum 20 tahun.

Tertuduh yang memakai t-shirt putih biru berseluar kelabu serta mengenakan pelitup muka kelihatan tenang sebaik membuat pengakuan bersalah.

Berdasarkan dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, lelaki itu didakwa mengeksploitasi seks dengan menggunakan paksaan terhadap isteri dan anak perempuannya yang berusia 13 tahun.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan ekploitasi seks terhadap isterinya berusia 36 tahun di sebuah kondiminium dan loji air di Batu 9, Cheras antara Januari 2015 hingga Mei 2019.

Manakala, kanak-kanak itu pula diekploitasi oleh tertuduh di kondominium yang sama di Batu 9 Cheras antara Januari 2019 hingga Februari 2020.

Media sebelum ini melaporkan, pemandu lori terbabit ditahan di Pandan Indah, Kuala Lumpur pertengahan Julai lalu, selepas menerima laporan polis yang dibuat ibu saudara remaja berkenaan.

Mengikut laporan, remaja itu menjadi mangsa rogol sejak berusia 10 tahun dan dilacurkan bapa kandungnya pada pertengahan 2019 hingga Februari lalu.

Berikutan itu juga, polis menahan empat lelaki warga asing dalam serbuan berasingan di Batu 9, Cheras dan Kajang, yang melanggan remaja dan isteri pemandu lori itu.

Dalam perkembangan berkaitan, tiga lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga Bangladesh berusia antara 29 hingga 35 tahun, juga pelanggan kepada mangsa kanak-kanak berkenaan turut dihadapkan ke Mahkamah Kajang atas kesalahan merogol.
Empat warga asing berkenaan didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast