PUTRAJAYA – Prosedur Operasi Standard (SOP) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan PRK DUN Slim tidak lama lagi bakal menjadi penanda aras kepada kerajaan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, SOP itu akan ditambah baik dari masa kesemasa.
Menurutnya, pelaksanaan SOP dalam pemilihan DUN Chini Julai lalu berjaya memberi hasil memuaskan.
“Manakala SOP berkenaan akan dilaksanakan di DUN Slim 29 Ogos ini iaitu SOP khas yang dibangunkan untuk pilihan raya. Mungkin SOP berkenaan kita akan tambah baik hasil dari DUN Chini pada masa sama kita juga akan lihat hasil terkini DUN Slim nanti.
“Kedua-dua PRK ini akan memberi KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) satu petanda aras untuk kita laksanakan Piliha Raya yang berskala lebih besar di negeri Sabah kali ini,” katanya dalam sidang media hari ini.
Bagaimanapun Noor Hisham sekali lagi menegaskan tahap pematuhan SOP itu oleh orang ramai lebih penting menentukan keberkesanannya dalam menjayakan pilihan raya tanpa sebarang kluster jangkitan baharu.
Bagi tujuan itu, katanya KKM akan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk melaksanakan SOP tersebut
“Selain memastikan pelaksanaannya menepati misi dan objektif kita, kami juga mahu memastikan orang ramai patuh secara serius tanpa sebarang tindakan pengingkaran,” tegas beliau.
Dalam pada itu ditanya tentang pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di Dewan Rakyat, Noor Hisham berkata, SOP dikeluarkan KKM untuk semua institusi sekolah, pejabat dan juga jabatan kerajaan termasuk Parlimen wajib dipatuhi.
Katanya, kesemua SOP berkenaan adalah sama iaitu mengamalkan penjarakan fizikal sekurangnya satu meter dan memakainya walaupun berada di Parlimen.
“Kalau di dalam Dewan Rakyat semasa perbahasan, mereka boleh buka facemask ketika sesi tersebut. Pun begitu penjarakan fizikal masih perlu diamalkan secara serius di setiap tempat terumata di tempat yang dirasakan sesak dan memerlukan langkah perlindungan lebih serius.
“Itulah yang telah disasarkan dan diamalkan di semua institusi pejabat dan sebagainya (termasuk Parlimen),” tegasnya.- MalaysiaGazette