Majlis penyerahan manfaat perlindungan takaful penabungan SSPN-i Plus dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kepada dua orang penerima di Kuala Terengganu hari ini.-pix ihsan PTPTN.

KUALA TERENGGANU – Hanya rasa syukur dapat diluahkan Muhammad Zulhilmi Rosli, selepas menerima manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) berjumlah lebih RM140,000, hasil caruman arwah ibunya Normah Ibrahim yang meninggal dunia akibat kanser pada Mac lepas.

Pemuda berusia 25 tahun yang bekerja sebagai penyelia tapak di sebuah syarikat swasta itu, tidak pernah menyangka akan menerima wang sebanyak itu, kerana arwah ibunya yang bekerja sebagai guru tidak pernah memaklumkan kepada mana-mana ahli keluarga, termasuk bapanya tentang simpanan tersebut.

Bagaimanapun beliau mengakui amat lega kerana wang itu sekurang-kurangnya dapat digunakan bagi membiayai perbelanjaan lima lagi adiknya, yang masih menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), sekolah menengah dan rendah.

“Kami sekeluarga memang tidak tahu menahu tentang simpanan tersebut, sehinggalah terjumpa sampul besar yang mengandungi dokumen tentang tabung SSPN-i Plus, ketika mengemas bilik arwah.

“Rupa-rupanya arwah ibu telah membuat simpanan perlindungan takaful dan simpanan dengan SSPN-i Plus untuk kami enam beradik sejak 2017. Tidak dapat kami gambarkan perasaan sedih, apabila memikirkan betapa sayangnya dia (arwah ibu) kepada kami,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan manfaat perlindungan takaful penabungan SSPN-i Plus dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kepada dua orang penerima di sini, hari ini.

Majlis penyerahan disempurnakan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat, dengan disaksikan oleh Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Nik Zah Mamat, 59, dari Kampung Alor Keladi, Besut berkata, beliau akan memanfaatkan sepenuhnya wang berjumlah lebih RM40,000, yang diterima hasil simpanan arwah anaknya Allahyarham Muhammad Hafiz Baharudin, untuk derma dan kerja-kerja kebajikan.

Nik Zah berkata, walaupun masih bersedih dengan kehilangan Muhammad Hafiz yang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Puncak Alam, Selangor pada 19 Mei lalu, wang manfaat tersebut, sekurang-kurangnya dapat digunakan sebagai pelaburan saham akhirat.

“Makcik pun terkejut juga apabila dihubungi dan dimaklumkan berkenaan wang manfaat perlindungan itu, tetapi syukurlah kerana boleh juga buat untuk derma arwah.

“Arwah memang seorang anak yang baik dan rajin. Walaupun sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai arkitek, dia masih lagi membuat kerja sampingan sebagai penghantar makanan dengan Foodpanda dan siapa tahu dia temui ajalnya di situ,” katanya.

Selain wang manfaat dan khairat kematian berjumlah lebih RM40,000, baki hutang pinjaman PTPTN Muhammad Hafiz berjumlah RM24,238 juga telah dimansuhkan sepenuhnya, melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok Pinjaman Pendidikan PTPTN.

Dalam pada itu Dasuki berkata, pihaknya sentiasa menguar-uarkan manfaat tabungan SSPN-i Plus bagi mewujudkan budaya menabung dalam kalangan masyarakat hari ini, terutama golongan ibu bapa.

Katanya, melalui tabungan serendah RM1 sehari dengan SSPN-i Plus, masyarakat akan menikmati perlindungan takaful berganda, dan masa depan pendidikan yang lebih terjamin.

“Dengan mengamalkan perancangan kewangan melalui penabungan pendidikan di peringkat awal, ia akan memudahkan anak-anak untuk mendapat pendidikan yang terbaik dan tersusun.

“Malah dengan perlindungan takaful di bawah SSPN-i Plus ini juga, banyak lagi manfaat lain yang akan diperolehi,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast