Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menjelaskan bahawa permohonan RM20 juta dana kerajaan untuk projek kereta terbang adalah untuk penyelidikan prototaip kereta nasional (NNCP).

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, permohonan peruntukan sebanyak RM20 juta itu asalnya dibincang pada Majlis Pembangunan Negara ketika itu untuk prototaip NNCP.

Bagaimanapun majlis seterusnya meluluskan peruntukan sebanyak RM8 juta sahaja bagi prototaip NNCP yang disalurkan kepada DreamEdge melalui Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).

MIGHT ketika itu diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri dan peruntukan RM8 juta yang diluluskan oleh Majlis Pembangunan Negara disalurkan kepada Syarikat DreamEdge menggunakan peruntukan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D), InnoFund dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi membangunkan projek kereta nasional

“Saya yakin bahawa kemententerian yang terbabit dalam menyalurkan dana berkenaan akan memantau kemajuan projek dan status suntikan fiskal itu,” katanya yang turut menjelaskan keutamaan MEDAC sekarang bukanlah projek dron atau super dron.

Sebaliknya, memberi perhatian khusus kepada pembangunan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mikro dan koperasi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Selain itu berusaha untuk mencapai hasrat dan matlamat yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.

Wan Junaidi membuat kenyataan ini susulan soalan berbangkit bagi MEDAC pada persidangan Dewan Rakyat Rabu lalu apabila Ahli Parlimen Lumut dari Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Dr Mohd Hatta Ramli bertanya mengenai usaha kerajaan berkaitan pembangunan kereta terbang.

Pada sesi itu, katanya, beliau telah menjelaskan bahawa istilah kereta terbang yang merujuk kepada ‘superdrone’ mengikut konteks sebenar dalam industri ‘Air Mobility’.

”Justeru saya terpanggil untuk sekali lagi memberi penjelasan berikutan ada beberapa pihak yang masih tidak begitu jelas dengan jawapan yang saya berikan itu agar tidak timbul sebarang salah faham.

“Sebenarnya industri dron dan super drone dalam kontek “Air mobility” ini mempunyai potensi yang tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa di samping untuk mobiliti urban industri ini boleh diaplikasikan ke pelbagai sektor yang lain.

“Air Mobility’ ini juga turut dilengkapi dengan teknologi terkini seperti Artificial Intelligence (AI), Big Data, Mobility dan Internet of Things (IOT) yang kini sedang berkembang pesat terutamanya di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Di Malaysia industri ini masih diterajui dan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta dan tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan.

MEDAC pula hanya berperanan sebagai pemudah cara kepada pembangunan usahawan PKS tempatan dalam industri ini yang memfokuskan kepada perkhidmatan dron atau super dron. – MalaysiaGazette