Gareth Bale
Gareth Bale

LONDON – Gareth Bale tidak mahu beraksi pada perlawanan pusingan 16 pasukan Liga Juara-Juara Eropah bertemu Manchester City, kata Zinedine Zidane.

Pengurus Real Madrid itu berkata, alasan itu menyebabkan pemain antarabangsa Wales itu tidak tersenarai 24 pemain untuk aksi penting tersebut.

Pemain berusia 31 tahun itu hanya melakukan 14 penampilan pada 2019 dan hanya beraksi dua perlawanan sejak La Liga disambung pada Jun lalu.

“Itu perbualan peribadi antara saya dengan Bale. Dia tidak berminat untuk beraksi,” kata Zidane.

Namun sumber mendakwa Bale membuat keputusan itu kerana sudah sedia maklum dia tidak akan berpeluang beraksi dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Etihad awal pagi ini.

Pada aksi timbal balik pertama di Sepanyol pada Februari lalu, Real Madrid mengalami kalah mengejut 1-2 kepada skuad kendalian Pep Guardiola.

Kini Zidane bertandang ke England dengan misi mengubah defisit kepada kemenangan untuk mara ke suku akhir.

Zidane turut mengesahkan Bale masih merupakan pemain Madrid dan kekal dalam pasukan utama.

“Cuma dia tidak mahu beraksi, itu sahaja yang kami boleh sahkan kepada media mengenai perkembangan Bale.

“Kami kini fokus penuh dalam aksi malam ini menentang Man City, tegas Zidane. – MalaysiaGazette