Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada Majlis Transformasi Taman Tasik Titiwangsa di bawah Projek River Of Life di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Rakyat akan menjadi hakim samada parti baharu yang akan ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diterima atau tidak.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, ia adalah hak bekas Pengerusi Pakatan Hadapan (PH) untuk menubuhkan sebarang parti kerana beliau kini berada dalam blok bebas.

“Tun tentunya ada perhitungan sendiri dalam politik. Adalah menjadi hak mana-mana individu untuk menubuhkan parti politik dan yang pentingnya harus menjadi parti politik yang sah dan berdaftar.

“Samada menjadi kuasa ketiga atau diterima atau tidak itu terpulang kepada rakyat yang sentiasa dekat dengan politik dan mempunyai pertimbangan dan pengalaman yang panjang.

“Itu kita serahkan balik kepada rakyat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis transformasi Taman Tasik Titiwangsa malam ini.

Annuar berkata, UMNO sedia untuk menerima Mahathir sekiranya beliau ingin kembali kepada parti itu mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kalau Tun berubah pendirian beliau boleh pohon semula untuk jadi ahli Bersatu atau UMNO, kita mengalu-alukan,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan itu mengulas pertanyaan media mengenai kenyataan Mahathir yang akan menubuhkan parti baharu selepas dilucutkan keahlian bersama-sama enam lagi ahlinya.

Mereka adalah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang jawatan terakhir selaku Timbalan Presiden Bersatu; Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.

Mahathir berkata penubuhan parti baharu itu akan menjadi kuasa ketiga dalam arena politik negara.

Parti yang belum dinamakan itu kata Mahathir bakal ditubuhkan kelak akan menjadi kumpulan penentu kepada siapa yang akan mendapat kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).

Dalam perkembangan lain, Annuar Musa menjangka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh bagi penanamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan diadakan pada awal September depan.

Ia berdasarkan kepada tempoh 60 hari yang ditetapkan kepada SPR bagi menetapkan tarikh PRN negeri itu kelak.

Malah tambah Annuar, soal pembahagian kerusi juga masih di peringkat perbincangan bersama rakan kerjasama BN, Muafakat Nasional dan Bersatu.

“Kita sedang dalam proses untuk meneliti dan kita faham PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh tarikh pembubaran, ini sudah seminggu.

“UMNO Barisan Nasional (BN) mempunyai masa kira-kira dua minggu sahaja lagi untuk memikirkan dan soal tentang calon-calon,” katanya.

Pada 30 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Sehari selepas itu, SPR memaklumkan menerima pemakluman rasmi daripada DUN Sabah mengenai pembubaran DUN Sabah penggal ke-15. – MalaysiaGazette