SEOUL – Sekurang-kurangnya 21 orang mati selepas Korea Selatan dilanda hujan lebat sepanjang tempoh 46 hari.
Ia merupakan monsun terpanjang di negara ini dalam tujuh tahun menyebabkan lebih banyak banjir kilat, tanah runtuh dan pemindahan penempatan.
Lebih daripada 3,000 orang telah dipindahkan ketika hujan melanda bahagian selatan semenanjung Korea pada pukul 6 pagi waktu tempatan hari ini (2100 GMT Jumaat), menurut data Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan.
Setakat ini, 11 orang dilaporkan hilang.
Kira-kira 100 meter benteng runtuh di Sungai Seomjin mengakibatkan banjir hingga memaksa sekitar 1,900 orang dipindahkan di wilayah itu termasuk kira-kira 500 orang yang berada berhampiran sungai.
Agensi perhutanan negara telah meningkatkan amaran tanah runtuh kepada tahap tertinggi di setiap wilayah kecuali Pulau Jeju.
Lima rumah ranap sama sekali dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di belakang perkampungan di Gokseong, dekat Jeolla Selatan, turut mengorbankan lima orang.
Hanya tiga orang berjaya diselamatkan. – MalaysiaGazette
















