Pengerusi Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) tidak bersetuju cadangan kerajaan untuk mengadakan inkues semula bagi siasatan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, apa yang harus dilakukan oleh kerajaan, iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi kes itu ialah membuat semakan kehakiman, bukan mengadakan inkues kali kedua.

“PPMM, bersetuju dengan keputusan NGO induk kami, Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela) untuk tidak menyokong cadangan KDN baru-baru ini untuk mengadakan inkues kali kedua, bagi mengheret pembunuh Allahyarham Muhammad Adib.

“Mengikut prosedur mahkamah, inkues telah pun dilakukan dan penemuan dapatan oleh Koroner adalah jelas, iaitu terdapat perlakuan jenayah yang menyebabkan kematian Muhammad Adib.

“Kenyataan menyatakan akan mengadakan inkues kedua adalah tersasar dari prinsip undang-undang-undang, yang mana keputusan itu adalah muktamad dan tidak boleh ada perbicaraan kali kedua dalam satu-satu perkara,” katanya pada sidang media Tuntutan Pembela kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Artikel berkaitan: PDRM cadang adakan semula inkues kes Adib – KPN

Wajar buka semula inkues jika boleh rungkai punca kematian Adib

Dakwa 12 suspek, buka semula inkues antara cadangan kertas siasatan kematian Adib

 

Menteri KDN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin baru-baru ini, dilaporkan berkata, kertas siasatan kes kematian Muhammad Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu, dengan disusuli beberapa cadangan.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Muhammad Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK).

Hamzah ketika memperincikan perkembangan kes itu berkata, cadangan lain yang turut dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

Menurut Zainul Rijal, dalam prosedur undang-undang, sekiranya mana-mana pihak tidak berpuas hati terhadap keputusan dari mahkamah koroner atau inkues, perkara yang boleh dilakukan ialah dengan membuat semakan kehakiman, bukan mengadakan inkues baru.

“Sekiranya hendak diadakan inkues yang baru dan ada dapatan daripada koroner yang baru, dan tidak puas hati lagi, adakah akan diadakan inkues ketiga, keempat dan kelima? Sampai bila pun tidak habis.

“Apa yang perlu dilakukan ialah menghormati keputusan mahkamah koroner ini,” katanya.

Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad ketika membacakan keputusan itu berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian, boleh diterima serta ada asas, selain ia disokong saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Beliau berkata, pihaknya turut menolak teori dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dilanggar.

Katanya, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul di mana ia membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.