Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,083 kes, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak adalah 174 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau memberitahu, kes baharu itu adalah sembilan dalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan lima warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara.

“Sembilan kes import tersebut adalah dari China dan India, masing-masing dua kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu kes dari Jepun di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan satu kes di Selangor.

“Ireland turut mencatatkan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Indonesia (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan Yaman pula kes di Sarawak.

“Semua empat kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia di mana Pulau Pinang mencatatkan tiga kes iaitu satu kes daripada Kluster PUI Sivagangga dan satu kes lagi daripada Kluster Kurau.

“Wilayah Persekutuan Putrajaya pula mencatatkan satu kes daripada Kluster Meranti,” katanya satu kenyataan harian di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, sehingga kini, terdapat satu kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes iaityu 1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“KKM juga ingin memaklumkan bahawa terdapat sembilan kes yang telah pulih Covid-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,784 kes iaitu 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette