Hassan Diab

BEIRUT – Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab berkata beliau akan memohon pilihan raya diadakan lebih awal untuk menamatkan krisis politik yang semakin memuncak berikutan letupan berdarah di pelabuhan Beirut.

“Kami tidak boleh keluar daripada krisis ini tanpa pilihan raya Parlimen awal,” katanya seperti dipetik Reuters ketika membaca satu kenyataan.

Hassan menambah, beliau tidak harus dipersalahkan terhadap krisis ekonomi dan politik negara itu.

Sementara itu, lebih 110 orang cedera semasa tunjuk perasaan mengenai letupan besar yang diadakan di tengah Beirut pada minggu ini dan 32 orang dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, kata media tempatan yang memetik para pegawai pasukan Palang Merah Lubnan.

Polis anti rusuhan melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan untuk menyuraikan mereka daripada memasuki bangunan Parlimen. – Agensi