Walaupun tiga perempat AJK Bersatu Bahagian Bangi keluar parti, bahagian itu tidak terbubar.

KUALA LUMPUR – Walaupun tiga perempat Ahli Jawatankuasa (AJK) dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat bahagian keluar parti namun tindakan itu tidak akan menyebabkan bahagian berkenaan terbubar.

Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan ialah Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mengadakan Persidangan Khas Bahagian untuk menubuhkan semula ahli jawatankuasa di bahagian tersebut.

Menurut penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff, perkara itu termaktub dalam Fasal 30.1. Perlembagaan Bersatu, iaitu “Parti ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perempat daripada jumlah ahli yang layak hadir dalam suatu persidangan Perhimpunan Agung Khas (PAK)”.

Kata beliau, peletakan jawatan atau tindakan keluar parti di peringkat bahagian, walau semua AJK bahagian meletak jawatan, atau keluar parti sekali gus, bahagian tersebut tidak terbubar.

“Kelakar sungguh melihat keghairahan sesetengah golongan dalam parti Bersatu mengumumkan kononnya bahagian itu terbubar setelah mereka dan AJK keluar parti.

“Penjelasan seorang bekas pemimpin Bersatu peringkat bahagian bahawa, seramai 15 daripada 17 AJK keluar parti, bermakna mengikut peruntukan perundangan, parti itu memerlukan tiga perempat untuk keluar baru bahagian terbubar, juga tersasar.

“Sekarang AJK yang keluar lebih dari tiga perempat atau 75 peratus, bermakna Bersatu Kota Raja terbubar serta-merta dan enam cawangan di bahagian itu juga terbubar secara automatik, adalah tidak tepat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas fenomena keluar parti beramai-ramai di kalangan pemimpin dan ahli Bersatu peringkat bahagian di Selangor sejak kelmarin.

Dr Kamarul Zaman Yusoff
Dr. Kamarul Zaman Yusof

Kata Dr. Kamarul Zaman, kebanyakan bekas pemimpin berkenaan mengharapkan dengan tindakan mereka keluar parti, bahagian itu akan lumpuh dan terbubar.

Ujar beliau, Fasal 19.10. Perlembagaan Bersatu menyatakan, “Jika semua AJK Bahagian berhenti serentak, maka MPT akan mengadakan Persidangan Khas Bahagian untuk menubuhkan semula jawatankuasa bahagian itu dan menentukan tempoh perkhidmatannya”.

Malah, katanya, walaupun semua ahli MPT keluar parti sekali gus, Bersatu sendiri tidak akan terbubar, sebaliknya Pengerusi Tetap atau Timbalannya hendaklah mengadakan persidangan PAK bagi menubuhkan semula MPT itu.

Perkara itu termaktub dalam Fasal 16.12. Perlembagaan Bersatu yang menyatakan, “Jika kesemua Ahli MPT berhenti serentak, maka Pengerusi Tetap atau Timbalannya hendaklah dalam tempoh tidak lebih daripada 60 hari mengadakan persidangan PAK bagi menubuhkan semula MPT”.

“Sungguh pelik apabila bekas pemimpin Bersatu yang keluar parti ini tidak tahu peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan parti mereka sendiri.

“Pada hemat saya, tindakan sesetengah pemimpin Bersatu keluar parti, walaupun cuba digambarkan sebagai “gelombang” oleh sesetengah pihak, tidaklah memberikan kesan besar kepada parti itu kerana yang berbuat demikian adalah mereka yang sudah dijangka,” katanya.

“Apa yang baik daripada tindakan ini ialah membersihkan parti itu dari duri-duri yang ada, memberi peluang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan semula AJK Bahagian dengan mengisikan jawatan ini kepada mereka yang lebih setia,” katanya.

Apa yang penting, kata Dr. Kamarul Zaman, tindakan itu tidak menjejaskan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat.

“Malah, ahli akademik yang dilihat rapat dengan DAP, Dr. Wong Chin Huat sendiri menyebut, kemungkinan untuk Ahli Parlimen lompat hampir tiada, dan tiada gelombang (lompat) sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Betul tu..nak blah boleh blah…kami tak sabar nak isi jawatan kat Bhg Hulu Langat dan Bangi…

Comments are closed.