SuruhanJaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 09 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan pihak berkuasa cuba melindungi premis haram, perjudian haram dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh dekat sini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata pihaknya memandang serius isu yang tular dalam dua klip video mendakwa pihak berkuasa gagal memantau, menguatkuasakan undang-undang selain dikatakan menerima rasuah daripada pihak terlibat.

“Saya telah menghubungi Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, (Datuk Zamri Yahya) hari ini.

“Beliau (Zamri) memaklumkan pihak JIPS akan mengambil tindakan tegas (jika ada kes) dalam isu berkaitan premis perjudian termasuk mana-mana pegawai yang melindungi kegiatan perjudian tersebut kerana kesalahan ini di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya kepada Bernama hari ini.

Ahmad Khusairi berkata pihak JIPS akan bekerjasama menyalurkan maklumat kepada SPRM jika ada pegawai atau anggota polis yang terlibat dikenal pasti.

“SPRM akan memberikan tumpuan kepada pegawai atau anggota penguat kuasa dalam kesalahan menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di sekitar Sungai Buloh,” katanya.

Beliau meminta agar masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat kepada SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Selain itu, saya meminta masyarakat agar tidak menghebahkan sesuatu isu dalam media sosial kerana ia tidak akan membantu sebarang proses siasatan malahan memberi peluang kepada pihak-pihak terlibat menghapuskan bukti atau keterangan yang ada,” katanya.

Sebelum ini, tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Asri Janggut mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar menafikan dakwaan itu kononnya tiada tindakan diambil terhadap premis perjudian di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.

Berdasarkan statistik sehingga Julai tahun ini, polis telah melakukan 40 serbuan dan 132 tangkapan bagi kes perjudian di sekitar kawasan berkenaan.

— BERNAMA

 

2 Komen

  1. Kalau tak tular, sapa pun tak peduli. Mamat tu asik jd mangsa ja. Bila tular, baru kerusi empuk terasa panas dan baru pegawai nak turun padang.

  2. jgn siasat tempat tu jek,
    siasat semua tempat,
    buat keje betul2,
    jgn nak tunggu jadi mcm nie baru nak buat keje,
    memalukan sungguh,
    integriti cuma perhiasan

Comments are closed.