Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Isu video viral pusat judi yang didedahkan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid semalam, turut mendapat perhatian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam kenyataannya hari ini, bekas Menteri Dalam Negeri itu mahu pihak berkuasa memberi perhatian serius berhubung pendedahan kegiatan judi dan perniagaan haram oleh warga asing di sekitar lokasi yang didedahkan.

Beliau berkata, kesalahan tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia itu, kerana beliau juga mempunyai alasan kukuh berkaitan aduannya video yang dirakamkannya itu.

“Dia bertindak menularkan video itu kerana mempunyai alasan kukuh mengenai aktiviti perjudian haram dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus bertindak.

“Pengadu banyak membantu peniaga muda yang menganggur untuk mencari rezeki halal dan dia bertindak demikian kerana lahir rasa tidak puas hati dengan tindakan pihak berkuasa,” katanya menerusi akaun Facebooknya.

Semalam, Mohd Asri, yang stall burgernya disita dan dirampas penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), merakam perniagaan yang menyalahi undang-undang oleh peniaga asing dan aktiviti perjudian di sekitar kawasan perindustrian Sungai Buloh, yang tidak diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut merakamkan kasih di atas tindakan pantas polis dalam memerangi premis perjudian di seluruh negara.

Katanya, tindakan itu perlu berterusan agar aktiviti perjudian tidak menjadi barah dalam kehidupan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast