KUALA LUMPUR – Armada Bersatu menyifatkan peletakan jawatan pemimpin dan ahli Blackout sebagai rahmat kepada parti itu, dan sekali gus proses penyucian dari golongan yang tidak setia kepada perjuangan.
Calon Exco Armada Nasional, Mohd Afiq Nazmi Azharin berkata, ahli yang setia tidak perlu berasa panik dengan tindakan golongan itu keluar parti, kerana tempat mereka akan diganti jawatankuasa baharu dan parti akan lebih kuat selepas ini.
“Mereka ada dalam cawangan atau bahagian selama ini pun tidak memberi apa-apa manfaat kepada parti dan sewajarnya mereka berundur untuk memberi peluang kepada Bersatu menguatkan kepimpinan.
“Parti kita mula tidak stabil selepas Tun Dr Mahathir Mohamad berada dalam Bersatu dan menjadi duri dalam daging kepada pertubuhan parti.
“Kita perlu melihat situasi terkini pengunduran ahli Blackout ini sebagai satu hikmah kerana ia membersihkan parti dari mereka yang tidak setia kepada perjuangan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Mohd Afiq Nazmi, peletakan jawatan kumpulan itu tidak bermakna Bersatu akan berkubur kerana Majlis Tertinggi Parti (MPT) akan melantik jawatankuasa penaja baharu.
Selama ini katanya, kewujudan mereka telah menjejaskan keharmonian parti kerana tindakannya menentang arus dan menimbulkan suasana tidak selesa dalam Bersatu.
Beliau yang juga Ketua Armada Bahagian Hang Tuah Jaya berkata, dengan keluarnya ahli Blackout, Bersatu dapat menumpukan usaha untuk memperkukuhkan perjuangan dengan berpaksikan kepada mereka yang taat setia kepada pucuk pimpinan.
Ujarnya, keseluruhan ahli dari semua peringkat perlu memfokuskan kepada pemilihan Bersatu yang bakal berlangsung Sabtu ini, tanpa mempedulikan isu Blackout lagi.
“Usah peduli apa yang nak dibuat oleh kumpulan Blackout ini. Mereka bukan lagi sebahagian dari ahli Bersatu.
“Sebaliknya kita perlu fokus pada usaha untuk melaksanakan pemilihan Armada Nasional pada Ogos ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















