Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah drastik menjual dua anak syarikat Tabung Haji Plantations (THP) adalah untuk menyelamat dan menjaga kepentingan pendeposit Tabung Haji (TH).

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, penjualan syarikat Bumi Suria Ventures Sdn. Bhd. dan Maju Warisanmas Sdn. Bhd itu wajar memandangkan hutang terkumpul dua syarikat itu mencecah RM243 juta.

Kata beliau, hasil tunai penjualan sebanyak RM170 juta itu digunakan untuk membayar sebahagian hutang THP, seterusnya menjimatkan RM9.41 juta kos operasi tahunan syarikat induk itu.

“Jelas, pelupusan pelaburan ini adalah satu keputusan korporat untuk menyelamatkan THP dari beban hutang yang cukup tinggi. THP kekal milik pendeposit muslim dan tidak dijual kepada mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, dakwaan anggota Perikatan Nasional (PN) bahawa tanah sawit yang dijual pada jumlah RM4,500 sehektar adalah tidak tepat.

“Hakikatnya, berdasarkan harga jualan RM170 juta bagi 6,514 hektar keluasan tanah dua syarikat ini, nilaian tanah dijual adalah RM26,098 sehektar,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir menyifatkan, dakwaan kerajaan PN itu mengelirukan rakyat, sedangkan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Ahmad Marzuk Shaary seharusnya memberikan jawapan yang jujur dalam Parlimen.

Ujar beliau, dakwaan PH menjual aset TH kepada orang bukan Melayu juga tidak berasas kerana ianya dijual kepada pembida yang berjaya membidanya, iaitu Tamaco Plantation Sdn. Bhd.

“Syarikat ini menawarkan harga paling tinggi melalui proses tender. Bagaimanapun, penjualan ini belum dimuktamadkan kerana memerlukan kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Jadi, keputusan menjual aset ini kepada Tamaco adalah di tangan kerajaan PN sekarang,” katanya.

Jelas beliau lagi, penjualan aset yang sedang rugi itu adalah langkah biasa dalam sistem ekonomi dan suatu keputusan korporat.

Bahkan, katanya, tindakan sama juga pernah diambil kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menjual THP Gemas Sdn. Bhd kepada Dupont & Leosk Enterprise Sdn. Bhd. yang dimiliki individu Cina.

“Di zaman PN sekarang pula, Khazanah Nasional Bhd menjual sahamnya dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ironinya, penjualan aset ini didiamkan sahaja, sedangkan langkah penjualan aset THP oleh PH diapi-apikan dengan sentimen Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.