Pelabuhan Singapura

SINGAPURA – Kemelesetan Singapura pada suku kedua lebih ketara daripada yang dijangkakan akibat tindakan pencegahan penularan koronavirus dan kerajaan menyatakan ekonomi yang bergantung kepada perdagangan berada dalam pemulihan tidak menentu akibat wabak itu.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turun sebanyak 13.2% tahun ke tahun pada suku kedua, menurut data kerajaan berbanding unjuran awal 12.6%.

Ekonomi susut  42.9% daripada suku sebelumnya dari tahun ke tahun dan disesuaikan mengikut musim, berbanding dengan anggaran awal kerajaan menguncup 41.2%.

Kerajaan mengunjurkan KDNK untuk tahun penuh akan menguncup antara 5% dan 7% berbanding ramalan sebelumnya iaitu penurunan 4% hingga 7%.

Negara ini masih menghadapi kemerosotan terbesar dalam sejarahnya.

“Masih ada ketidakpastian yang signifikan bagaimana keadaan Covid-19 yang masih tidak menentu memberi kesan pada suku akan datang dan trajektori pemulihan ekonomi global dan domestik.

“Prospek ekonomi Singapura telah lemah sedikit sejak Mei,” kata Gabriel Lim, Setiausaha Tetap untuk perdagangan dan industri dalam satu taklimat.

Ekonomi Singapura terjejas teruk akibat wabak Covid-19 dan negara itu berada di bawah sekatan pergerakan pada sebahagian besar suku kedua untuk mengekang penyebaran virus berkenaan.

Kemerosotan KDNK menandakan penguncupan suku kedua berturut-turut bagi hab kewangan global – setelah menurun 0.3% tahun ke tahun pada suku pertama dan 3.1% suku ke suku – memenuhi definisi untuk kemelesetan teknikal. – MalaysiaGazette