Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz menyambut baik jawapan Menteri Hal Ehwal Agama Islam, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang memberi bayangan positif ke arah penubuhan Jawatankuasa Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat serta menyelesaikan kemelut berkaitan Tabung Haji (TH).

Ahli Parlimen Bachok itu berkata, RCI itu wajar memandangkan isu TH sangat mustahak dan melibatkan kepentingan umat Islam keseluruhannya.

Katanya, desakan penubuhan RCI itu bukan perkara baharu, kerana Pas sebelum ini telah menyatakan pendirian itu sejak pelbagai isu mengenai TH dibangkitkan pada Disember 2018.

“Langkah ini bukan bererti mengundur ke belakang dalam mengemukakan penyelesaian terhadap permasalahan TH, tetapi bagi memastikan kedudukan sebenar TH di sebalik pelbagai polemik yang telah dibangkitkan.

“Tambahan lagi, RCI ini juga perlu menjawab persoalan yang menjadi tanda tanya sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Di Parlimen semalam, Dr. Zulkifli memaklumkan, Kabinet akan membincangkan cadangan penubuhan RCI dalam masa terdekat bagi menyiasat dakwaan salah laku di TH.

Beliau menyatakan, penubuhan RCI itu bertujuan untuk mencari titik penyelesaian yang boleh diterima semua pihak, dan paling utama memastikan segala urus tadbir lembaga itu menepati kepentingannya sebagai institusi milik umat Islam.

Menurut Nik Mohd Abduh, beberapa perkara itu termasuk isu penjualan sebahagian besar ladang milik TH Plantations di bawah harga pasaran, pemindahan aset penting kepada UJSB yang dianggap kononnya “underperforming assets” serta dakwaan tiada audit ke atas akaun berkanun TH sejak pelan pemulihan dilaksanakan pada 2018.

Semua itu, tegas beliau, memerlukan jawapan yang tuntas dan hanya boleh diselesaikan dengan penubuhan RCI tanpa campur tangan politik. – MalaysiaGazette