logo FELDA

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis telah dibuat oleh FELDA di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini berkenaan cubaan setengah pihak mempengaruhi peneroka FELDA Raja Alias dalam aktiviti membeli tanah rancangan berkenaan.

Laporan polis itu  bertujuan melindungi kepentingan FELDA dan warga peneroka FELDA Wilayah Raja Alias yang telah didekati individu-individu tidak dikenali kononnya mewakili sebuah syarikat bagi tujuan membeli tanah mereka.

“Situasi ini bermula daripada beberapa sesi perjumpaan dengan warga peneroka yang dianjurkan oleh oleh wakil syarikat bekenaan bermula dengan satu sesi pada bulan Mac lalu tanpa mendapat kebenaran FELDA.

“Pihak syarikat tersebut kemudiannya telah menghantar surat melalui pihak peguam mereka kepada FELDA dan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad yang menyatakan minat mengambil alih tanah-tanah ladang peneroka FELDA Wilayah Raja Alias untuk satu projek pembangunan bersepadu.

“FELDA telah menghantar surat maklum balas kepada syarikat tersebut pada 20 Julai lalu yang membawa maksud FELDA tidak menyokong dan menolak hasrat syarikat itu berkaitan projek yang ingin dilaksanakan,” kata satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, FELDA juga mengarahkan syarikat tersebut untuk menghentikan sebarang ceramah, sesi penerangan atau apa-apa aktiviti di kawasan rancangan-rancangan FELDA.

Bagaimanapun, masih terdapat individu-individu yang disyaki mewakili syarikat tersebut ingkar dan tetap menjalankan aktiviti-aktiviti perjumpaan tanpa mendapatkan kebenaran pengurus-pengurus rancangan.

FELDA juga mendapat makluman dalam sesi perjumpaan tersebut, individu berkenaan cuba memujuk sehingga tahap memaksa peneroka bersetuju dengan hasrat mereka serta memberikan janji-janji yang di luar kebiasaan norma aktiviti jual beli yang dirasakan agak mustahil untuk dilaksanakan.

Berikutan itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Aset dan Hartanah (JPAH) FELDA, Ridzuan Mohd Noor bersama Ketua Unit Undang-undang FELDA, Abbas Nejamdeen telah tampil membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan lanjut untuk menghalang sebarang bentuk aktiviti yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam kawasan rancangan FELDA serta keharmonian warga peneroka FELDA.

FELDA juga menasihati semua peneroka supaya berhati-hati dan tidak terus terpedaya dengan sebarang tawaran lumayan dari syarikat luar sebelum merujuk kepada pihaknya.

Terdapat kes-kes sebelum ini di mana peneroka berputih mata kehilangan tanah dan tidak pun mendapat tawaran yang dijanjikan dan akhirnya terpaksa hidup dalam kesusahan.

Oleh itu, FELDA menegaskan, kepentingan warga peneroka untuk mendapatkan pengesahan dan kelulusan FELDA terlebih dahulu dalam apa-apa hal yang melibatkan tanah peneroka.

FELDA juga menyeru peneroka untuk tidak terlibat dalam sebarang sesi penerangan yang tidak dihadiri oleh wakil FELDA.- MalaysiaGazette