Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Terdapat satu lagi kluster baharu dikenal pasti hari ini yang kebanyakannya tertumpu di Mukim Tawar, Kedah.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, terdapat 10 kes positif yang telah disahkan di bawah Kluster Tawar yang mana terdiri daripada ahli keluarga kes pertama (kes ke-9113).

Tambahnya, kes ke-9113 adalah seorang lelaki warganegara Malaysia yang merupakan seorang peniaga.

Dia mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang turut dihadiri kira-kira 30 orang.

Sumber KKM

Majlis tersebut berlangsung dari 31 Julai 2020 hingga 1 Ogos lalu dan pesakit mula mengalami sakit dada serta gejala demam pada 8 Ogos.

Dia kemudiannya telah mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan yang mana saringan Covid-19 yang dijalankan ke atasnya disahkan positif pada 11 Ogos.

“Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan.

“Sehingga 13 Ogos 2020, 86 kontak rapat beliau telah disaring yang termasuk ahli keluarga, kontak rapat di hospital dan lain-lain kontak.

“Daripada jumlah ini, sembilan kes dikesan positif, 21 negatif dan 56 masih menunggu keputusan.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut mengumumkan terdapat tiga kluster yang diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Pusat Perubatan Kuching, PUI Pitakwa dan PUI Shirala menjadikan keseluruhan kluster tamat adalah 74. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sibuk dgn majlis itu ini.. Sibuk nk berhimpun keluarga konon dah rindu .. Sibuk nk beraya sakan… Sibuk nk bercuti konon penat berkurung pkp hari tu.. .. Hakikatnya sikap rakyat malaysia SEGELINTIR nya seolah2 otaknya melekap kat lutut!!

Comments are closed.