Orang awam yang memakai pelitup muka setelah kerajaan mewajibkan penggunaan di tempat awam dan pengangkutan awam yang sesak bermula 1 Ogos hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Tar, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 1 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Harga pelitup muka akan kembali kepada harga asal iaitu RM0.80 sekeping bagi pelitup muka tiga lapisan atau lebih rendah.

Itu sasaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung harga baharu bagi pelitup muka tiga lapisan di negara ini.

“Kalau turun lagi kita sasaran balik ke had asal 80 sen atau kurang. Berdasarkan kepada situasi semasa, kalau boleh RM0.70 pun boleh.

“Pengilang pun kita harus ambil kira peranan mereka boleh mengeluarkan pelitup muka kalau dijual dengan harga runcit RM0.70,” kata menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di bilik media Parlimen, hari ini.

Selasa lalu, Alexander berkata, harga pelitup muka akan dijual pada kadar lebih rendah iaitu RM1 sekeping di peringkat runcit manakala 95 sen di peringkat pemborong.

Harga itu akan dikuatkuasakan mulai 15 Ogos depan.

Alexander berkata, dengan sasaran pelaksanaan harga terendah itu, kerajaan akan memastikan harga itu tidak akan menjejaskan pengeluaran produk itu daripada pihak pengilang.

“Tak guna kita turunkan harga kalau nanti tidak ada di pasaran. Harga pengeluarannya masih tinggi maka orang tidak dapat jual,” katanya.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak dan pengangkutan awam mulai 1 Ogos manakala harga siling diturunkan kepada RM1.50 mulai 15 Ogos ini.

Pada sidang Dewan Rakyat minggu lalu, Alexander dilaporkan berkata, kerajaan bercadang menurunkan lagi paras harga siling pelitup muka tiga lapisan ke paras bawah RM1.20 seunit mulai 15 Ogos.

Cadangan penurunan harga maksimum pelitup muka tiga lapis dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 17 Julai, sebelum ia mendapati persetujuan sebulat suara. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.