Antara penjawat awam yang hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN dan Amanat Tahun Baru 2020 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2020.

INTEGRITI penting untuk dihayati oleh semua pihak terutamanya mereka yang memikul amanah dan menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi melindungi
kepentingan, kebajikan dan keselamatan orang awam dalam negara kita seperti penguatkuasa dan penjawat awam.Sebarang perbuatan atau tindakan pecah amanah, salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan lain-lain yang dilakukan dalam kalangan mana-mana pihak penguatkuasa dan penjawat awam akan membawa impak negatif yang besar kepada masyarakat dan reputasi negara kita. Adalah penting supaya semua penguatkuasa dan penjawat awam yang ada dalam negara kita memastikan diri mereka sentiasa bersih dan bebas daripada sebarang salah laku yang boleh impak besar terhadap semua institusi yang ada dalam negara. Peranan penguatkuasa dan penjawat awam adalah penting supaya segala dasar yang dirangka oleh pihak kerajaan dapat dilaksanakan dengan sempurna demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.
Negara kita memerlukan pihak penguatkuasa dan penjawat awam yang mempunyai integriti yang tinggi serta mantap bagi membenteras segala kegiatan dan aktiviti jenayah yang ada dalam negara kita, melindungi rakyat daripada bahaya dan memajukan negara. Sebarang isu yang membabit salah saku dalam kalangan pihak penguatkuasa atau penjawat awam perlu dipandang dengan serius, disiasat dengan segera serta diambil tindakan dengan sewajarnya. Tidak boleh wujud sebarang kompromi dalam perkara ini kerana ia melibatkan kepentingan awam dan imej semua pihak yang berkaitan dengan perkhidmatan awam.

Semua pihak penguatkuasa dan penjawat awam perlu mendukung prinsip integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing- masing bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada semua lapisan masyarakat.Apa yang dimaksudkan dengan integriti? Integriti secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada seseorang individu atau sesebuah organisasi. Isu integriti berkait rapat dengan isu etika dan nilai- nilai murni yang perlu ada dalam diri seseorang individu atau sesebuah organisasi. Segala tugas dan tanggungjawab yang telah diberikan pada seseorang individu atau organisasi itu perlu dilaksanakan secara jujur dan penuh amanah. Integriti juga berkait rapat dengan sikap telus, berwibawa serta patuh kepada segala peraturan dan undang- undang yang telah ditetapkan dalam negara kita. Apabila berlaku sesuatu konflik kepentingan, keutamaan haruslah diberikan kepada kepentingan, kebajikan dan keselamatan orang ramai dalam negara kita. Oleh itu, adalah penting bagi semua pihak khususnya para penguatkuasa dan penjawat awam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka dengan sebaiknya supaya kepercayaan masyarakat umum terhadap mereka tidak tergugat sehingga boleh mengganggu kestabilan, keharmonian dan keselamatan negara.

Budaya integriti ini telah lama disemai oleh pihak kerajaan dalam kalangan rakyat. kepentingan untuk mengamalkan budaya integriti ini juga telah diajar kepada para pelajar di sekolah-sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Pihak kerajaan juga telah lama cuba untuk melahirkan perkhidmatan awam yang lebih berkualiti serta berintegriti dalam negara kita melalui pengenalan beberapa buah dasar dan polisi yang berkaitan seperti pelancaran kempen Bersih, Cekap & Amanah pada tahun 1982, kempen Kepimpinan Melalui Teladan pada tahun 1983, Dasar Penerapan Nilai- Nilai Islam pada tahun 1985, Etika Kerja Islam pada tahun 1987, Budaya Kerja Cemerlang pada tahun 1989, Anugerah Kualiti pada tahun 1990, Piagam Pelanggan pada tahun 1993, e-kerajaan dan MS ISO 9000 pada tahun 1996, pengenalan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2002, pengenalan konsep Islam Hadhari pada tahun 2005, pelaksanaan petunjuk prestasi utama ataupun KPI, kempen benci rasuah dan lain- lain langkah lagi lagi. Segala dasar dan polisi yang berkaitan yang telah dilancarkan ini seharusnya dihayati, difahami dan yang paling penting diamalkan oleh semua pihak dalam negara kita dengan sepenuh hati terutamanya oleh semua penguatkuasa dan penjawat awam supaya mereka dapat menjalankan segala tugas dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka dengan penuh integriti, profesional dan cekap.

Nilai integriti juga telah lama disaran dalam agama Islam. Pihak penguatkuasa dan penjawat awam yang beragama Islam khususnya perlu menghayati segala nilai- nilai
integriti yang telah disarankan di dalam agama Islam. Agama Islam menegah keras umatnya untuk melakukan sesuatu perkara yang sia-sia, yang tidak membawa apa –
apa faedah serta yang boleh membawa kepada kemusnahan pada diri mereka sendiri serta orang sekeliling. Allah SWT tidak sukakan hambanya yang meninggi diri, berlaku sombong serta tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan amanah. Setiap pihak perlu diberi peringatan untuk mengamalkan budaya integriti dalam kehidupan seharian mereka sekiranya mereka ingin dihormati oleh orang sekeliling dan berjaya dalam kehidupan yang sementara ini. Integriti boleh diibaratkan sebagai sebuah pokok besar yang berdiri teguh dimana akarnya adalah dalam bagi menampung pokok yang besar berkenaan, seseorang yang memiliki integriti akan menjadi seperti pokok yang besar ini. Mereka yang memiliki integriti ini tidak akan mudah goyang dan tumbang dengan sebarang jenis godaan dan tipu daya yang datang kepada mereka yang boleh menjejaskan integriti mereka.

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)