Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Zambry Abdul Kadir akan berkongsi pengalamannya sebagai mantan Menteri Besar Perak dalam siri kuliahnya kepada penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Beliau yang dilantik sebagai Profesor Adjung universiti itu berkata, berdasarkan pengalaman itu, beliau akan duduk bersama pengurusan dan penuntut USAS untuk sama-sama mendapatkan idea baharu ke arah cemerlangkan legasi universiti berkenaan.

“Saya ucap terima kasih kepada USAS Perak kerana melantik saya dan mantan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tun Ahmad Sarji sebagai Profesor Adjung. Pelantikan ini adalah  satu pengormatan kepada saya dan saya ucap terima kepada USAS.

“Selaku Profesor Adjung, saya akan memberikan siri-siri kuliah kepada universiti ini dan berkongsi pengalaman saya sebagai bekas Menteri Besar dan pengalaman lain yang saya ada,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas majlis penyerahan surat pelantikannya sebagai Profesor Adjung.

Surat pelantikan itu disampaikan Naib Canselor USAS, Tan Sri Nordin Kardi dalam satu majlis ringkas di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut Zambry, USAS merupakan universiti yang sangat dekat di hatinya, kerana ketika menjawat jawatan Exco Kerajaan Perak pada 2004, beliau diberi portfolio atau tanggungjawab dalam hal pendidikan oleh Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Tajul Rosli Ghazali.

Katanya, selepas menjadi Exco dan sehingga dilantik Menteri Besar Perak pada 2009, beliau terus memberi perhatian kepada pembangunan USAS yang ketika itu bertaraf kolej, sebelum diangkat kepada kolej universiti dan dinaiktaraf menjadi universiti penuh.

“Ketika saya Exco hal ehwal pendidikan, tanggungjawab pertama saya lakukan ialah menstruktur semula kolej berkenaan, yang ketika itu tidak begitu berkembang dan mempunyai beberapa masalah.

“Apabila sudah naiktaraf kepada universiti, ini merupakan satu pencapaian besar bagi kerajaan Perak ketika itu yang kita lakukan hasil dari perancangan yang teliti.

“Saya terlibat secara langsung dalam proses itu, malah paling bermakna ialah Sultan Perak, Sultan Nazri Muizzuddin Shah beri perhatian serius dan sesuai dengan baginda seorang sarjana yang sangat cintakan ilmu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata, USAS mempunyai instrumental tersendiri apabila menaiktaraf universiti itu mempunyai kaitan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Pelajaran.

“Kebetulan pula ia ada kaitan dengan Muhyiddin iaitu ketika Menteri Pelajaran, beliau antara yang sangat instrumental menjadikan kolej ini sebagai universiti dan menyediakan geran tahunan kepada USAS.

“Maka sangat istimewa kali ini, apabila Perdana Menteri adalah Muhyiddin dan sangat menarik sekiranya beliau dapat mengimbau dan meneruskan apa yang telah diputuskan waktu itu untuk membantu menyediakan geran tahunan kepada USAS,” katanya. – MalaysiaGazette