Setiausaha Agong Majlis Perundingan Melayu Malaysia, Datuk Dr Hasan Mad (duduk dua kiri) bersama badan bukan kerajaan (NGO) menunjukkan memorandum khas kepada kerajaan pada sidang media berhubung surat campur tangan tiga pemimpin mengarahkan pembatalan pembekuan aset taikun hartanah di Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan menghantar memorandum desakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun agar siasatan dilakukan ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Tommy Thomas dan Lim Guan Eng.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, UMMAH bersama jalinan sembilan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam akan menyerahkan memorandum itu di Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara pada 19 Ogos ini antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurut beliau, pada hari itu juga, NGO berkenaan akan menghantar memorandum sama kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Katanya, Tun Dr. Mahathir ketika menjawat jawatan Perdana Menteri, bersama Tommy selaku Peguam Negara dan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan ketika itu, dikatakan telah menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan pembatalan pembekuan akaun bank taikun hartanah, Tan Sri Lim Soon Peng.

“Bermula 11 Ogos lalu sehingga hari ini, sebanyak sembilan laporan polis telah dibuat oleh NGO di seluruh negara dan laporan akan terus dibuat sehingga hari kita serahkan memo desakan ini kepada Perdana Menteri, Peguam Negara, SPRM dan KPN pada Rabu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media UMMAH di Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini, hari ini.

Turut bersama, Setiausaha Agung MPM, Datuk Prof. Dr. Hasan Mad, dan Pengerusi UMMAH Perak, Datuk Drs. Khalil Idham Lim Abdullah.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk  Takiyuddin Hassan mendedahkan salinan surat menunjukkan campur tangan Dr. Mahathir, Guan Eng dan Tommy untuk mengarahkan pembatalan pembekuan aset Lim Soon Peng berkaitan kes 1MDB sebanyak RM4 juta.

Menurut Takiyuddin, salinan surat itu telah dihantar kepada SPRM pada 20 Oktober 2018 ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Jelas Mohd Zai, UMMAH dengan tegas menolak sebarang unsur campur tangan dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin kerana perbuatan itu mengundang kepada gejala rasuah.

“Polis, SPRM dan Jabatan Peguam Negara mesti menyiasat serta menyelesaikan isu ini supaya gejala rasuah dapat ditangani,” katanya. – MalaysiaGazette

5 Komen

  1. Woii .. Desak PN Pas buat Hudud la weyyy…pakat jd bisu ke weyy…pramlee ckp tua2 pon bodoh

  2. Tangkap dan reman teruslah apa tunggu lagi. Dakwa terus. Bukti dah jelas. Yang ni kena pakai baju oren kan.

  3. mahadir cakap tak serupa bikin lah macam tu. harap siasat segera dan ambil tindakan tegas. munafik patut dihukum.

  4. Dah terbukti nyata pihak berwajib penguatkuasaan undang undang mesti ambil tindakan tiada sesiapa terkecuali terlepas tanpa mengira bulu pangkat dan darjat dan inilah langkah sebenar seadiladilnya yang dikehendaki oleh semua orang rakyat dan lebihlebih lagi oleh Yang Maha Berkuasa ALLAH TAALA AAMIN.

Comments are closed.