Thomas Muller

LISBON – Bayern Munich mengaibkan Barcelona apabila melakar kemenangan besar 8-2 ke atas kelab Sepanyol itu pada awal pagi tadi bagi menempah tiket ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Ia merupakan kekalahan terburuk Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara, manakala Bayern menjadi pasukan pertama yang menjaringkan lapan gol pada perlawanan pusingan kalah mati.

Perlawanan dimulakan dengan Thomas Muller meletakkan Bayern di hadapan empat minit perlawanan bermula dan Barcelona menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi jaringan sendiri David Alaba.

Bayen tidak menoleh ke belakang selepas itu apabila Ivan Perisic yang menerima hantaran Serge Gnaby merebat menewaskan penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen untuk meletakkan pasukannya kembali di hadapan pada minirt ke-21.

Keadaan terus memihak kepada kelab dari Jeman itu apabila mendahului 4-1 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Serge Gnabry pada minir ke-27 dan Muller (minit ke-31).

Luis Suarez dilihat memberi nafas baharu kepada Barcelona pada separuh masa kedua dengan gol awal selepas 12 minit permainan disambung namun juara Bundesliga itu menafikannya dengan jaringan mudah Joshua Kimmich pada minit ke-63 yang menyaksikan kedudukan 5-2

Bayern terus menghukum lawannya menerusi jaringan Robert Lewandowski pada minit ke-82 dan Philippe Coutinho (minit ke-85, 89) bagi membolehkan pasukan itu melakarkan kemenangan bergaya. – Agensi