Willian sertai the Gunners dengan menandatangani kontrak tiga tahun untuk beraksi di Emirates.

LONDON – Walapun Cheksea menawarkan kontrak baharu kepada Willian, perancang tengah itu tekad untuk meneruskan kariernya dengan jiran the Blues, Arsenal.

Pemain antarabangsa Brazil itu bersetuju dengan kontrak tiga tahun yang ditawarkan the Gunners bagi membolehkannya terus berada di England.

Pemain berusia 32 tahun itu meninggalkan Frank Lampard selepas kontraknya bersama kelab itu tamat secara rasmi.

Chelsea gagal bersaing dengan pakej menarik yang disediakan pasukan kendalian Mikel Arteta kepada Willian.

“Saya percaya dia adalah pemain yang mampu membawa perubahan kepada pasukan.

“Kita memang berhasrat mengukuhkan jentera serangan tengah dan posisi sayap pasukan,” kata Arteta.

Willian melakukan 330 penampilan bersama Chelsea selepas berhijrah dari kelab Rusia, Anzhi Makhachkala dengan nilai 30 juta pound pada 2013.

Dia memenangi lima gelaran bersama Chelsea, termasuk dua piala EPL dan satu piala Liga Europa selain pernah dipilih sebagai pemain terbaik kelab sebanyak dua kali.

Menurut Arteta, Willian merupakan pemain yang boleh beraksi dalam empat posisi berbeza.

“Dia mempunyai pengalaman luas dalam dunia bola sepak namun masih berazam untuk ke Emirates dan menyumbang sesuatu kepada kelab ini.

“Saya cukup tertarik betapa bersungguh-sungguh pemain itu mahu menyertai Arsenal ketika berbual baru-baru ini,” ujarnya. – Agensi