Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa memuji sikap berjiwa besar wakil Armada Nasional Perak yang di ‘boo’ sekumpulan penyokong Barisan Nasional (BN) pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, semalam.

Setiausaha Agung (SUA) BN itu berkata, beliau bersama rakan sejawatan dalam komponen parti itu, termasuk Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang menyelaraskan jadual gerak kerja untuk sama-sama berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim.

“Saya salute anak muda berjiwa besar. Saya bersama SUA Pas, SUA Bersatu, SUA MCA, MIC, KIMMA, MS, IPF dan PCM serta lain-lain parti, sedang selaras jadual untuk pimpinan parti turun bersama berkempen untuk calon muda BN,” katanya menerusi ciapan Twitternya, semalam.

Annuar mengulas reaksi Ketua Armada Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh yang dilaporkan berkata, partinya tidak mengambil hati dan berlapang dada dengan insiden yang berlaku itu.

Dalam kejadian itu, beliau di ‘boo’ ketika berada di atas pentas setelah diperkenalkan oleh Pengerusi Pemuda BN Nasional, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bersama wakil parti komponen iaitu Pemuda MCA, MIC dan Pas.

Beliau juga turut disorak apabila Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebut nama sayap Bersatu itu.

Ketika ditemui wartawan selepas majlis itu, Mohd Hafez Mubin berkata, perkara itu bukan halangan untuk Armada Bersatu mengerahkan jenteranya membantu memenangkan calon BN.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN dan dua calon bebas.

BN diwakili anak tempatan Slim, Mohd Zaidi Azizi yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, manakala calon bebas diwakili Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santhara Sekaran Subramaniam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast