KUALA LUMPUR – Jika benar ikhlas untuk berkawan, pastikan kejujuran dan kesefahaman menjadi akar persahabatan, pesan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.
Katanya, tiada guna berkongsi kuasa jika tiada persefahaman hingga menjejaskan momentum yang perolehi Muafakat Nasional (MN).
Kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu, rakyat mahukan MN yang dibarisi UMNO dan Pas menerajui negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Bukan mudah untuk kita memperoleh sokongan yang padu hingga berjaya menang enam Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam tempoh dua tahun ini.
“Semoga kepimpinan tertinggi dapat membuat keputusan yang bijak dalam hal ini serta tidak meminggirkan suara akar umbi,” katanya menerusi akaun Facebooknya, hari ini.
Namun, menurut Dr. Najmil Faiz, kejujuran dan keikhlasan itu penting seperti yang dikatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, iaitu jangan main-main dengan BN dan MN kerana mesej kita hanya satu, iaitu buktikan jujur dengan ikhlas untuk perkongsian kuasa. – MalaysiaGazette
















